Bahang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) semakin terasa kehangatannya. Terutama selepas kerajaan BN bersetuju membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) serta meningkatkan kadar gaji kakitangan awam.
Bagi rakyat biasa, imej Perdana Menteri Najib Razak dipotretkan oleh media sebagai pembawa rezeki yang menghulur Bantuan Rakyat 1 Malaysia ke seluruh negara. Bantuan itu dijadikan hujah kononnya hanya BN mampu memberi kebajikan.
Di Selangor Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.71 bilion. Pengagihannya bukan melalui agensi kerajaan negeri sebaliknya rekomen Ketua Bahagian dan Cawangan BN. Agak pelik sebuah negeri maju dengan belanjawan tahunan RM1.6 bilion diberi peruntukan kewangan sebesar itu.
Selangor tidak memerlukan projek prasarana mega kerana insfrastruktur sedia ada yang dibina kerajaan persekutuan atau negeri sudah cukup untuk kekalkan kemajuan. Tidak lain, dana itu bakal diguna bagi merasuah pengundi dan menggerakkan jentera kempen. Juga tidak hairan sekiranya jentera gerak gempur dibayar elaun tetap mulai Mac hingga Jun (sekiranya PRU pada Jun). Termasuk samseng yang ditugas mengacau ceramah Pakatan Rakyat (PR), dibayar elaun tinggi agar tidak gentar bergaduh mahu pun tercedera.
Wang selebihnya akan diperuntuk bagi pembaikan kemudahan awam. Namun tidak mustahil halaman rumah Tok Empat JKKKP atau jalan ke rumah AJK Umno cawangan diturap. Jangan terperanjat sekiranya Ketua Bahagian menukar kereta baru atau bini baru. Wang amat banyak. Apa sahaja boleh terjadi. Malah perbelanjaan BN sewaktu berkempen pada PRU 2008 pun hanya sekitar RM100 juta.
Wang yang masih tersisa selepas ditolak pelbagai belanja dan elaun, diasing khusus untuk kegunaan seminggu sebelum mengundi. Pasukan BN akan bergerak ke rumah-rumah pengundi atas pagar memberi ole-ole berupa RM50 atau RM100 bersama slip kawasan mengundi berlambang dacing. Maka lengkaplah strategi BN menawan negeri-negeri PR.
Memasang bendera
Persoalannya, bagaimanakah bentuk strategi PR menangkis curahan ‘kemakmuran’ itu? Sehingga kini belum jelas tindakbalas yang dirancang. Ceramah dan sebaran media adalah cara biasa dan mustahil mampu melawan taktik luar biasa yang sedang dipacu BN.
Mungkin sedikit ketara jentera PAS dan KEADILAN mula menaikkan bendera di tiang lampu dan di atas pokok. Laksana memasang pelita pada malam tujuh likur menyambut Hari Raya Aidilfitri. Namun, apakah cukup dengan cara semudah itu? Pernahkah diukur tahap kefahaman pengundi mengenai polisi PR?
Memasang bendera ketika kerajaan telah memerintah tidak sama seperti sebelumnya. Bendera yang dipasang di bumbung rumah penyokong Reformasi pada 1998 melambangkan semangat melawan BN dan memberi perangsang kepada jiran-jiran untuk turut serta. Selepas memerintah, bendera biasanya tidak dipasang oleh individu kecuali melalui peruntukan parti. Jadi, kesannya tidaklah sehebat mana.
Bendera dipasang dengan banyak ketika PRU 2004 di Terengganu. Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu ditenggelami lautan bendera PAS. Tidak ada jalan yang tidak berkibar bulan putih bersalut hijau. Sesiapa yang melihat kemeriahan menyambut ‘perayaan’ mengundi di Terengganu yakin BN akan menggigit jari sekali lagi di negeri penyu bertelur itu.
Hakikatnya mengecewakan, Barisan Alternatif yang makan telur. Kekalahan 2004 bukan tidak diramal. Malah telah dijangka oleh sebahagian aktivis PAS sendiri. Tetapi tidak ada siapa berani melawan tradisi menaikkan bendera maka taktik itu dijadi senjata utama berkempen.
Aspek kefahaman rakyat mengenai polisi kerajaan memerintah tidak langsung diambil peduli. Sedangkan hal itu penentu haja tuju sokongan. Rakyat wajar mendapat maklumat secukupnya mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan negeri selama 4 tahun.
Adakah media rasmi Kerajaan Negeri atau parti sampai ke rumah mereka? Sebahagian besar pengundi PR dalam PRU 2008 bukan ahli parti mahu pun penyokong. Mereka adalah golongan atas pagar. Ahli KEADILAN hanya 200,000, PAS 900,000 dan DAP sekitar 120,000 ketika itu. Bagaimanakah pembangkang memperolehi undi sehingga 3.8 juta?
Kebayakan undi disumbang oleh rakyat yang mahu melihat perubahan. Mahu satu bentuk kerajaan baru yang lebih bertanggungjawab. Perkara terbesar yang perlu diketahui oleh PR, adakah rakyat maklum perubahan-perubahan yang dibuat dan adakah mereka berpuas hati dengannya.
Oleh kerana bukan penyokong maka sudah tentu mereka jarang sekali membaca Harakah, Suara Keadilan, Roket atau pun laman web parti. Inilah cabaran sebenar PR dalam beberapa bulan terakhir sebelum PRU. Namun, sekiranya jawapan kepada semua soalan di atas berbalik kepada inisiatif individu mencari maklumat, maka nasib Terengganu akan berulang.
Sebaran risalah
Mungkin PR Selangor pantas menjawab, kerajaan negeri mencetak akhbar Selangorkini dan memiliki laman web Selangorku. Namun wajar diingat, sewaktu Barack Obama berusaha menang kerusi Presiden Amerika Syarikat (A.S), para penyokongnya tidak sama sekali bergantung kepada media A.S yang bebas. Juga tidak bergantung kepada internet.
Pasukan kempen Obama diarah mencari ucapan-ucapan beliau di internet dan menyalinnya. Ucapan itu kemudian dicetak dalam bentuk risalah dan diedar ke peti surat pengundi. Bayangkan, negara paling efisen keupayaan akses internet di dunia masih menggunakan risalah berasaskan kertas. Pengedaran juga secara yang paling asas iaitu dari rumah ke rumah. Risalah walaupun percuma jarang diambil peduli oleh pengundi jika diletak di tempat awam.
Inilah yang perlu dicontohi PR. Bukan hanya ghairah memasang bendera. Begitu juga pasukan kempen perlu lebih bijak dan mempunyai minda yang ke hadapan daripada pengundi.
Kerosakan perundangan negara, rasuah dan kezaliman memang perlu diingatkan selalu namun terdapat cara lain yang lebih mudah menarik sokongan, iaitu menjanjikan bantuan. Sebelum 2008 janji itu sukar dipercayai namun kini ia lebih mudah untuk dipropaganda.
Bagi kawasan bandar atau sub bandar isu kemudahan kesihatan, pekerjaan serta peluang pendidikan yang lebih baik harus dijadikan modal. Di Peranchis, parti politik boleh menang PRU dengan membawa isu sistem keselamatan sosial di United Kingdom lebih baik dan sempurna. Di Malaysia banyak perkara yang tidak sempurna, merugikan malah jenayah semakin kejam.
Jika isu-isu itu diterangkan kepada rakyat secara sistematik tentulah arus perubahan lebih besar akan tercetus. Negeri-negeri yang dimenangi pada 2008 tidak menjadi masalah dipertahankan melalui pertambahan bilangan penyokong baru, biarpun BN menghantar pengundi luar kawasan atau pendatang asing ke negeri-negeri tersebut.
Bagaimanapun, sebagaimana BN yang memberi elaun kepada jentera kempennya, PR harus melakukan sesuatu yang berpadanan ke atas jenteranya. Jentera kempen yang ketiadaan wang tidak mampu pergi jauh maka pengundi juga akan teraba-raba apakah untungnya mengundi PR. Walaupun keuntungan telah mereka diperoleh di depan mata melalui ‘kemurahan’ luar biasa BN akibat takut kemaraan PR. Bagaimanapun, rakyat yang tidak faham perlunya PR dalam ‘permainan’ perimbangan kuasa itu tentu sekali memberi kredit hanya kepada BN.