Kehabisan Borang Daftar Pemilih di sekitar Bangi dan Kajang tidak sepatutnya berlaku, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.
“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku, dan dianggap satu kelemahan besar oleh semua kakitangan SPR. SPR seharusnya perlu membekalkan borang daftar pemilih yang mengcukupi setiap kawasan dan negeri saat bahang pilihanraya semakin hampir.
“Pengumuman SPR pada 29 Mac, jam 9 malam telah mewawarkan meminta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan diri perlu mengambil tindakan segera sebelum 1 April, 2012 bagi memastikan mereka layak mengundi pada Jun 2012.
“Namun menjadi kemarahan rakyat apabila mereka pergi ke Pejabat Pos sekitar Bangi dan Kajang didapati borang tersebut telah kehabisan stok,” katanya.
Selain itu, menurut Dr Shafie tempoh yang diberikan selama tiga hari terlalu singkat dan ramai rakyat yang tidak tahu pengumuman yang diwawarkan oleh SPR.
“Saya berpendapat ianya merupakan satu sabotaj yang dibuat oleh SPR kepada rakyatnya”, katanya.
Ujarnya lagi, seluruh jentera Pakatan Rakyat sekitar DUN Bangi telah pun turun padang bertemu rakyat membuat penyemakan mengundi.
“Setiap minggu kita bertemu rakyat untuk mendaftarkan diri mereka bagi memastikan mereka layak mengundi PRU13 nanti. Tugasan yang diberikan sedikit sebanyak membantu meringankan kerja –kerja SPR
“Walau bagaimanapun, kita kesal dan musykil apabila terdapat seramai 4,000 nama pengundi yang dibekalkan dalam Rang Daftar Pemilih Suku Keempat mulai 8 Februari, 2012 sehingga 14 Februari telah dikenal pasti bukan rakyat Bangi telah dimasukan kawasan ini .
“Contohnya, selepas kita membuat kerja culaan undi terdapat keraguan apabila satu rumah terdapat berbagai nama pengundi berbilang bangsa, agama walhal rumah tersebut adalah orang melayu dan agamanya Islam.
“Terdapat juga nama pengundi yang telah meninggal tetapi SPR gagal menghapuskan nama tersebut.
“Saya mendesak agar kempen SPR menggalakan rakyat Malaysia mendaftarkan diri perlu dipanjangkan tempohnya bukan tiga hari,” katanya.
Selain itu, SPR perlu membekalkan borang daftar pemilih yang mengcukupi semua kawasan dan negeri di Pejabat Pos.
“Kita tidak mahu dengar kehabisan borang di pejabat Pos.
“SPR juga perlu membersihkan semua senarai nama pengundi yang telah meninggal, nama pengundi hantu, dan tidak terdapat nama warga asing di seluruh negeri khususnya DUN Bangi.
“Jika tidak, sekiranya SPR gagal melaksanakan tugas tersebut, kerajaan Pusat dan SPR akan lihat kebangkitan rakyat besar –besaran pada 28 April, 2012 di Dataran Merdeka dalam Himpunan Bersih 3.0 dianggotai 84 Badan NGO,” bidas Dr Shafie.
Antara yang dituntut dalam Himpunan Bersih 3.0 adalah Bersihkan senarai undi, Mereformasikan undi pos,Gunakan dakwat kekal, Akses media bebas dan adil, Masa kempen minima 21 hari, Kukuhkan institusi awam,Hentikan rasuah, Hentian politik kotor.
Tema Himpunan kali ini ‘Duduk Bantah’ dan bakal diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.
“Saya harap Himpunan 3.0 yang diadakan secara aman tidak dilakukan sebarang provokasi daripada polis dan FRU”, kata Dr Shafie merangkap Pembantu Exco Hal Ehwal Islam, petang semalam dalam lawatan ziarah pesakit strok, Selamah Ismail, 80thn yang di Hospital Pakar An-Nur Bangi.
Difahamkan oleh ADUN Bangi, pengundi sekitar DUN Bangi seramai 40,000. Suku keempat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bangi berjaya mendaftarkan rakyat disitu seramai 2000 pengundi.