Kegelabahan BN tidak banyak berubah sejak gelombang Reformasi melanda negara 14 tahun lalu. Cetusan Reformasi tidak diduga menyebabkan kebangkitan rakyat yang begitu besar, terutama orang Melayu menentang pemerintahan BN.
Pada sangkaan perancang konspirasi, pemecatan Anwar Ibrahim hanya menyebabkan beberapa bantahan kecil dari penyokong setianya di dalam Umno. Paling kuat mungkin mengulangi perpecahan selepas Perhimpunan Agung Umno 1987. Pertembungan Team A, Dr Mahathir dan Team B, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berakhir dengan keputusan mahkamah mengharamkan Umno.
Kumpulan Ku Li meminta perintah mahkamah membatalkan mesyuarat agung itu yang mereka dakwa dilaksanakan secara penipuan dan mengadakan pemilihan semula. Sementara peguam pihak Umno meminta parti itu diharamkan. Cubaan untuk menyemak keputusan yang aneh itu menyebabkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dipecat dari jawatannya oleh Dr Mahathir.
Namun ia berakhir dengan sempurna pada pilihanraya 1990. Semangat 46 pimpinan Ku Li hanya berpeluang menguasai Kelantan tetapi kalah di lain-lain negeri. Selepas PRU 1995, Semangat 46 bubar.
Walau bagaimanapun, kebangkitan Reformasi amat berlainan. Momentumnya semakin kuat dari sehari ke sehari bermula 2 September 1998. Sehinggalah 28 September, tercetus perhimpunan 100,000 rakyat dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka. Anwar ditahan ISA namun isu penyelewengan dan rasuah BN telah pun mengubah persepsi rakyat terhadap politik Malaysia selama sedekad kemudian.
Kegelabahan Umno BN
Selepas 1998, perhimpunan puluhan ribu manusia menuntut keadilan dan ketelusan sistem pemerintahan bukan lagi sesuatu yang sukar dilakukan. Malah begitu ramai reformis dan aktivis yang secara sukarela menyertainya walau pun dipukul dan dibelasah polis pencegah rusuhan.
Dr Mahathir yang gelabah melihat kemaraan Reformasi mengimbanginya dengan pelbagai taktik pemulihan imej. Penyokongnya mewujudkan billboard dan ditandatangani ribuan rakyat menyokong kerajaan BN. Perhimpunan di Stadium Bukit Jalil bersama pelayar negara Datuk Azhar Mansor. Program turun padang dibuat saban hari ke serata tempat termasuk kawasan terpencil Sabah dan Sarawak. Tokoh-tokoh sosial dan ulama dipaksa membantai pembangkang. Anugerah khas (hanya tahun itu sahaja) diberi kepada Sasterawan Negara Usman Awang kerana ramai pengkarya telah perpihak kepada parti lawan.
Semua itu demi menyelamatkan kuasa Umno BN daripada diguling dalam pilihanraya 1999. Kini, setelah 14 tahun, rakyat ingin melihat drama yang berlainan jalan ceritanya. Momentum menolak kerajaan BN terlalu meluas. Jumlah yang menghadirkan diri dalam tunjuk perasaan Bersih 3.0 hampir empat kali ganda jumlah menyertai Reformasi di Dataran Merdeka sedekad sebelum itu.
Sepatutnya skrip berlainan dipentaskan oleh pentadbiran Najib. Walau pun skrip polis tetap sama. Dalam perhimpunan Reformasi, polis cawangan khas menyusup masuk dan merosakkan kemudahan awam kemudian disalahkan aktivis Reformis. Perhimpunan Bersih 3.0 juga bukan demonstran yang memotong kawat berduri dan melakukan provokasi. Ia dilakukan secara terancang oleh pasukan yang berada bersama-sama demonstran.
Rakyat tak peduli
Malangnya, skrip demonstran ganas tidak dipedulikan rakyat kerana terbukti polis lebih ganas membelasah peserta. Manakala tindakan Najib meminta maaf kepada jurugambar akhbar The Sun suatu perkara bodoh yang tidak mungkin dilakukan oleh Dr Mahathir. Akibatnya, Najib perlu memperbaiki imej pentadbirannya secara yang paling rumit.
Tiga bekas Ketua Polis Negara dipaksa memberi komentar. Pendapat mereka tidak laku kerana amalan rasuah yang terpalit di kalangan ketiga-tiganya. Jawatankuasa Fatwa turut menjadi mangsa, dipaksa mengeluarkan fatwa dalam keadaan yang pelik kerana tidak didahului Persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan. Fatwa mengejut ini lebih berupa kenyataan media. Rakyat menolak fatwa separuh masak.
Perhimpunan 100,000 ahli Umno terpaksa dianjur di Stadium Bukit Jalil bagi mengimbangi kemaraan Pakatan Rakyat. Umno BN benar-benar telah kekeringan idea dan sampai ke tahap kegelabahan paling dahsyat. Perhimpunan parti, biar pun disertai sejuta orang sekali pun tidak akan sama dengan perhimpunan rakyat menuntut kebebasan.
Hal itu seperti perbandingan antara rampasan kuasa dan revolusi rakyat. Adakah kedua-duanya sama? Hanya dari segi cara pertukaran pemerintah. Tetapi bukan keabsahan tindakan.
Revolusi amat dikenang dalam sejarah manusia. Beberapa revolusi besar menjadi sebutan biar pun telah berlaku puluhan, malah ratusan tahun. Revolusi Peranchis (1799) menjadi sebutan kerana bermulanya era tanpa raja di Eropah. Revolusi Bolshevik (1917) memulakan era komunisme. Begitu juga revolusi demokrasi di Asia. Penggulingan Marcos, Suharto dan lain-lain.
Ia tidak sama dengan rampasan kuasa tentera. Walaupun diingati seperti di Chile, Augusto Pinochet kemudiannya ditahan di United Kingdom. Perves Musharaf amat hebat di Pakistan selepas merampas kuasa tetapi terpaksa hidup dalam buangan di London hari ini.
Apa yang berlaku pada 28 April lalu, sekiranya doa BN dimakbulkan dan revolusi mengambil tempat maka ia akan diingati dalam lipatan sejarah dunia. Tidak ada kuasa di dunia yang boleh menghalang kehendak rakyat. Kejatuhan pemerintah di tangan rakyat diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tidak ada dakwaan boleh dikenakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa ke atas rakyat.
Berbanding rampasan kuasa tentera yang akan menyangkut soal melanggar hak asasi manusia atau jenayah kemanusiaan. Seharusnya Najib sedar perhimpunan yang sebegitu besar tidak boleh dilawan dengan kekerasan polis mahu pun penggunaan kuasa tentera.
Tangkap pemimpin Bersih
Cara paling berkesan menghadapi ketidak puasan hati rakyat ialah melalui rundingan dan menunaikan tuntutan mereka. Dr Mahathir terlalu membesar-besarkan revolusi dengan harapan Najib akan mencari jalan menahan Anwar dan beberapa pemimpin Bersih. Hanya beberapa pemimpin besar diperlukan dan tokoh-tokoh lain akan surut ke belakang.
Perlu diingat, revolusi Arab tidak langsung mempunyai pemimpin. Biar pun Mesir mempunyai pembangkang yang kuat namun selepas ditindas sekian lama gerakan mereka tidak menyerlah. Arab Spring bermula dengan ulasan rakyat biasa di facebook mengecam pemerintah. Kemudian anak muda turun ke jalan raya. Mereka bertahan dari serangan polis selama seminggu sebelum lebih ramai rakyat menyertainya.
Polis menggunakan keganasan. Pemimpin pembangkang muncul selepas ramai terbunuh. Ketika itu rakyat seluruh negara telah pun bangkit. Tentera yang dihantar tidak lagi berguna untuk melindungi regim. Mereka tenyata berpihak kepada rakyat.
Kerajaan BN perlu berhati-hati menghadapi kebangkitan kali ini. Jangan jadi bodoh meminjam lebih banyak wang dari Bank Dunia atau menerbitkan bon untuk memberi peneroka Felda durian runtuh. Memberi BR1M atau lain-lain bantuan. Rakyat tahu semua pemberian itu akan menambah hutang negara ke tahap yang tidak mampu dibayar.
Tidak perlu memberi wang segera kemudian beban hutang ditanggung sehingga ke anak cucu. Malah menolak pembaziran adalah antara matlamat kebangkitan Bersih 3.0. Mereka mahukan pilihan raya yang adil agar kerajaan yang dilantik benar-benar berfikiran waras untuk masa depan negara.
Sekiranya BN berkeras dan hanya mendengar nasihat Dr Mahathir serta para penasihat Yahudi Apco maka mereka akan menghadapi akibat lebih buruk. Kedua-duanya akan terbang keluar sebaik sahaja BN tumbang. Najib berkemungkinan tidak sempat menyusul kerana masih berjanji untuk memberi lebih banyak wang manakala Rosmah sibuk mengemas beg tangan serta cincin berlian ketika rakyat menguasai Putrajaya.