Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengalu-alukan pengisytiharan keluar daripada Parti Umno oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kampar, Sanhuri Mat Zin semalam.
Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh kecoh berikutan pendedahan yang dilakukan oleh Sanhuri di atas isu pemberian projek tapak perlombongan pasir yang dipohonnya. Menurut Sanhuri beliau rugi membayar RM20,000 untuk permit pasir kerana kawasan yang diterimanya mengandungi tanah liat bukannya pasir. Penipuan berlaku walaupun beliau ‘orang kuat umno’ dan Ahli Majlis di kawasannya.
Dalam penulisan ringkas di laman interaktif sosial Facebook, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang kini berada di luar negara mengalu-alukan pendedahan Sanhuri.
“Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak terkejut dengan pendedahan saudara Sanhuri Mat Zin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kampar,” kata Dr Raja Ahmad Iskandar.
Tambah, Dr Raja Ahmad Iskandar juga mengalu-alukan langkah berkenaan.
“Saya amat mengalu-alukan pengisytiharan (Sanhuri) keluar daripada Umno hari ini,” katanya.