Kekalahan agak besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada siang tadi tidak akan melemahkan usaha untuk mendapatkan kembali mandat rakyat, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dalam sidang media sebentar tadi
Menurutnya, PH menerima keputusan rakyat dan akan berusaha menjadi pembangkang yang cemerlang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sudah tentu PH yang pernah menjadi kerajaan dan sudah biasa dengan peranan pembangkang tidak akan berputus asa. Kami akan teruskan usaha kami untuk mendapatkan mandat rakyat.
“Kami akan terus bawa suara rakyat yang lantang dan main peranan semak imbang di DUN. Kami akan adakan post mortem untuk melihat kelemahan dalam PRN ini, untuk kami bangkit semula.
“Ini penting dalam usaha PH untuk bersiap sedia dalam PRU akan datang, selepas kemenangan Umno BN yang kita ketahui memang ghairah mahu mengadakan PRU secepat mungkin,” katanya.
Bagaimanapun, Aminolhuda menyalahkan tindakan kerajaan BN yang tidak membuka sempadan Johor – Singapura dan membenarkan 200,000 pekerja bangsa Johor di seberang untuk balik mengundi sebagai sebahagian punca kekalahan.
Katanya, keputusan akan berbeza sekiranya tidak wujudnya halangan dan suasana berkaitan pandemik Covid 19.
“Kita memang tak jangkakan (kekalahan teruk) sebab pengundi yang keluar rendah. Kita jangkakan jika 70 – 80 % keluar mengundi keputusan berbeza. Yang tak keluar bukan sahaja bimbang kerana Covid tetapi mereka yang berada di luar Johor seperti di Singapura, tak balik,” katanya.
Menuju ke arah PRU 15, Aminolhuda berkata, PH akan segera melakukan bedah siasat kekalahan tersebut dan akan mencari solusi terbaik untuk strategi masa hadapan.
“Orang Johor masih termakan isu berkaitan perkauman. Kita perlu semak dan ambil tindakan. Jika isu ini masih jadi mainan ia tidak memberikan sesuatu yang positif (kepada pembinaan bangsa),” katanya.
Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah menyokong PH.
Beliau juga menganggap kekalahan tersebut sebagai ‘boleh diterima’ dengan pelbagai halangan yang dilakukan oleh pemerintah dalam PRN berkenaan.
Dalam PRN ini DAP mendapat 10 kerusi, KEADILAN 1, Amanah 1 dan sekutu PH, Muda 1 kerusi.