Lebih 5,000 hadir ke Pidato Perdana dan pelancaran ‘Merdeka Rakyat’ peringkat negeri Johor di Taman Kota Masai, Pasir Gudang .
Meskipun khabar angin mengatakan bahawa Pemuda Umno Pasir Gudang dan Tebrau mahu ‘menggempur’ tapak ceramah , namun kehadiran ribuan hadirin – sesungguhnya diluar jangkaan, membenamkan niat jahat samseng-samseng politik.
Walaupun dalam suasana tidak selesa, hanya menjadikan jalan raya sebagai alas duduk, namun tidak menghalang kehadiran pelbagai kaum, dari segenap lapisan masyarakat sekitar daerah industri ini untuk mendengar amanat pemimpin Pakatan Rakyat.
Antara yang menyampaikan ceramah ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Pengerusi Majlis Pimpinan Johor, Datuk Chua Jui Meng, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua KEADILAN Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard.
Dengan menggunakan layar gergasi dan sistem audio ala konsert, pidato perdana dimulai dengan tayangan video ‘Merdeka Rakyat’, iaitu rakaman himpunan Bersih 3.0, ‘Duduk Bantah’ yang berlangsung di Kuala Lumpur, 28 April lalu.
Kredit wajar diberikan kepada anggota Angkatan Muda KEADILAN Pasir Gudang yang cekap mengawal aliran trafik dan keselamatan, memudahkan tugasan anggota Polis yang datang penuh satu bas dari IPD pasir Gudang – dan mereka hanya memerhatikan program dijalankan.
Keadaan semakin gamat apabila Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba – terus naik ke pentas, berucap menggunakan gaya tersendiri, dengan mikrofon ‘wireless’.
Mengulas kejadian serangan di ceramah KEADILAN Parlimen Lembah Pantai, Khamis lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengecam keras reaksi lemah Menteri Dalam Negeri yang diam tanpa tindakan, langsung tidak menunjukkan penerapan konsep ‘wasatiyyah’ yang dilaungkan Najib Razak.
“Tidak salah dengar hujah Pemuda Umno, BTN (Biro Tata Negara) dan sebagainya. Tapi dengar juga hujah dari Pakatan Rakyat. Mengapa program kita diserang? Apakah ini yang dikatakan ‘wasatiyyah’?, soal Anwar.
Sementara itu, menurut jawatankuasa penganjur, Edi Nor Riduan yang juga Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), pelancaran ‘Merdeka Rakyat’ peringkat Johor turut dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui laman ustream.tv.
“Statistik menunjukkan, 6,000 pelayar mengikuti siaran langsung termasuk di luar negara, antaranya Jordan, Australia dan Indonesia,” kata Edi.
Manakala Ketua Angkatan Muda KEADILAN Tenggara, Azlan Ishak yang mengawal tapak perniagaan memberitahu, rata-rata peniaga untung besar, selepas barangan jualan yang dibawa laris.
“Pakcik dan makcik yang berniaga suka betul. Siapa kata ceramah tak tingkatkan ekonomi. Yang mereka bimbang kalau-kalau ‘pengacau’ datang mengganggu ceramah. Itu punca mereka rugi,”jelas Azlan.