Teori Dr Mahathir kononnya pembangkang sengaja mahu menghuru-harakan negara dan disambut oleh beberapa menteri kabinet memperlihatkan pengaruh bekas Perdana Menteri itu masih kuat di dalam Umno BN. Juga tidak mustahil kumpulan Dr Mahathir akan merancang sesuatu sekiranya peluang untuk BN bertahan dalam PRU akan datang tipis.
Ahli parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid yakin Dr Mahathir masih mampu memberi arahan tertentu kepada beberapa orang menteri yang menjadi sekutunya biar pun bertentangan dengan pendirian Najib Razak
“Saya yakin dia (Dr Mahathir) boleh lakukan. Kebanyakan menteri kabinet yang ada hari ini naik pada zaman Dr Mahathir dan mereka amat terpengaruh dengannya. Najib pula dilihat tak setanding Mahathir, dan dalam beberapa hal isterinya Rosmah mengganggu pentadbiran.
“Saya percaya Mahathir ada ‘direct deal’ dengan beberapa menteri tertentu. Sebab itu, terdapat kesan bercelaru (arahan dan perlaksanaan) di dalam dan di luar kabinet,” katanya.
Abdullah berpendapat Dr Mahathir tidak gembira apabila Najib mengekalkan beberapa menteri yang tidak disenanginya. Oleh itu, katanya, kumpulan Mahathir terus-menerus memberi tekanan kepada pentadbiran Najib
“Mahathir melihat Najib ‘budak degil’. Najib masih mengekalkan muka-muka yang tak disenangi beliau seperti Johari Baharom, Nazri Aziz dan beberapa orang lagi yang sepatutnya digugurkan
“Perpecahan dalaman Umno wujud akibat dendam Mahathir ini. Malah Mahathir yang memulakan budaya dua puak dalam Umno. Kejatuhan Pak Lah adalah akibat budaya itu,” tambahnya.
Mengulas ucapan Anwar baru-baru ini, peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat sekiranya menang pilihan raya akan berjalan aman melainkan berlaku campurtangan Dr Mahathir, Abdulah tidak menolak bekas PM itu mampu mencetuskan sesuatu yang di luar jangkaan.
“Dia boleh beri arahan (cetuskan sesuatu). Tetapi kita harus bersedia menghadapi keadaan itu,” katanya.