Ahli parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah menghantar surat untuk menghadap Sultan Johor Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmood Iskandar sekiranya diperkenankan.
Dalam surat rasmi itu beliau menyatakan hasrat untuk menjelaskan perkara sebenar yang terjadi lewat kontroversi komennya ditwitter mengenai nombor plat Sultan Johor yang dimainkan oleh media massa dan ahli politik BN selama ini.
“Tujuan saya memohon mengadap DYMM Baginda Sultan Johor setelah mendapat perkenan adalah ingin menjelaskan kesulitan yang berlaku.
“Saya dan beberapa sahabat akan menyertai saya dalam ruangan perbincangan dengan DYMM Baginda Sultan Johor jika mendapat keizinan kelak.
“Saya berharap pihak Y.Bhg. Tuan (Setiausaha Sulit DYMM) dapat kiranya menyembah maklum hasrat saya dan memohon agar perkenan majlis mengadap tersebut,” katanya dalam surat berkenaan.
Nizar sebelum ini memprotes layanan berat sebelah oleh pihak berkuasa yang tidak melakukan siasatan terhadap akhbar Kosmo yang terlebih awal mendedahkan mengenai bidaan nombor plat Sultan Johor sebelum Nizar memberi komen dalam media twitternya.
Beliau menyatakan RM520,000 yang dibelanjakan untuk bidaan tersebut lebih baik digunakan untuk membantu rakyat Johor yang masih miskin.