Kerajaan digesa bertindak tegas ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam menjual dokumen sulit keluar negara. isu berkenaan timbul apabila didedahkan Suaram baru-baru ini mengenai dokumen sulit mengenai penilaian kapal selam dan keperluan Tentera Laut Malaysia yang ditemui di pejabat syarikat pembuat senjata Perancis
Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataannya menegaskan, kebocoran dokumen sulit adalah pengkhianatan tinggi (high treason) yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dibawah Seksyen 4, Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Bagaimana dokumen yang sangat sulit diklasifikasi dengan kategori keselamatan tertinggi ‘highest category of official secret documents’ berasal dari syarikat Terasasi (Hong Kong) Ltd dijumpai dalam simpanan syarikat DCNS di Perancis?
“Tindakan Najib dan Razak Baginda (ternyata) menzalimi dan mengkhianati tanggungjawab memelihara rahsia pertahanan negara,” kenyataan Shamsul dipetik.
Selain laporan Polis, AMK Malaysia menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan.
“Telah didapati jelas adanya elemen rasuah.
“Najib Razak mempunyai hubungan langsung dengan Razak Baginda dan Abdul Malim Baginda berdasarkan Dokumen 97 dan Dokumen 87 seperti yang disebut dalam Laporan Penuh Media Scorpene di Bangkok, Thailand oleh Suaram.
“Mereka terlibat melakukan jenayah dagangan yang melibatkan jumlah transaksi melampau bagi kepentingan peribadi selain menjual kedaulatan negara,” katanya.