Ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini mengecam laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen ( PSC) yang menganggap bahan sisa Lynas tidak merbahaya.
Katanya, sebelum ini dalam kenyataan di malaysiakini pengerusi PSC Khalid Nordin pernah menjawab pertanyaan MP Batu Gajah, Fong Poh Kuan mengenai penghantaran pulang sisa Lynas ke Australia. Menurut Khaled di bawah undang-undang Australia sekiranya sisa tidak mencecah 1 Bq|g maka tidak dianggap bahan radioaktif.
“Khaled kemudian berkata sisa yang dihasilkan Lynas di bawah 1 Bq|g dan tidak dianggap radioaktif serta tidak mustahil sisa itu akan dihantar keluar negara melalui kapal.
“Bagaimanapun daripada dokumen yang dihasilkan Lynas kita tahu LAMP menghasilkan 3 bahan berasingan. Dua darinya (NUF-neutralised Underflow Liquid dan FGD – Flue Gas Desulpharisation) mempunyai bacaan 0.5 Bq|g.
“Yang ketiga WLP -Water Leach Purification mempunyai radioaktif yang spesifik iaitu 6.2 Bq|g. Ini bermaksa sisa yang dihasilkan adalah radioaktif,” katanya.
Fuziah mempersoal apakah Khalid tidak mengetahui fakta sebenar dalam perbahasan di Parlimen atau sengaja tidak membentangkan fakta yang tepat.
“Saya menyeru agar pemimpin (BN) berhenti memperbodohkan rakyat. Kanak-kanak tadika pun tahu angka 6 lebih besar daripada nombor 1.
“Manakala kerajaan BN ingin mengeluarkan lesen TOL kepada LAMP walaupun para Menteri mereka tidak membentangkan laporan yang tepat kepada Parlimen,” sinisnya.
Sementara itu, dalam perbahasan hari ini, ahli parlimen Batu Tian Chua berkata laporan PSC tidak menafikan Lynas bakal menjadikan Malaysia ‘tong sampah’, dan nadir bumi merbahaya kepada umum.
“Apa yang ditunjukkan dalam laporan ini, ia tidak lari daripada fakta torium adalah bahan radioaktif dan half line torium itu tidak kurang daripada 75,000 tahun.
“Apa yang telah dikatakan ia tidak menafikan faktanya Malaysia dijadikan tempat simpanan bahan radioaktif. Apa yang dijamin oleh penindustri ialah Lynas adalah selamat kerana mereka boleh mematuhi syarat.
“Berapa lama kita akan menanggung bahan sisa ini? Langsung tidak dinyatakan. Dalam laporan hanya mengatakan kalau perlu kita boleh transport kembali bahan ini ke Australia tetapi tiada syarat pada takat apa kita boleh transport kembali. PSC ini tidak menyatakan kepada kita,” hujahnya.
Beliau turut menyelar laporan itu kononnya Lynas melabur di Malaysia disebabkan kos operasi yang murah.
Tian berkata itu hanya alasan syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia sedangkan pada hakikatnya mereka ada muslihat tersembunyi.
“Kita sepatutnya mengkaji sebab-sebab lain. Semua pengusaha akan cakap dia datang ke sini sebab ada cukai bebas, kos murah dan sebagainya. Tetapi mereka tidak menyentuh soal risiko yang ditanggung oleh rakyat Malaysia. Inilah faktor utama mereka datang ke sini,” katanya.
Perbahasan Tian menarik perhatian Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj apabila beliau memohon untuk mencelah.
Jeyakumar mendedahkan, kerajaan Australia mengenakan syarat yang terlalu ketat untuk mendirikan syarikat nadir bumi di negara itu.
“Sebagai contoh, Air yang dikeluarkan daripada kilang itu perlu dilepaskan dalam kolam, kemudiaan dilepaskan melalui wap terus ke Sungai. Ia sangat berbeza di Gebang Kuantan, apabila sisa itu dilepaskan ke kolam seterusnya disalirkan ke dalam sungai,” katanya.