Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sepatutnya digantikan oleh seseorang yang lebih berwibawa dan tidak takut bertindak kepada sesiapa yang mengamalkan korupsi
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata selama ini Gani gagal melaksanakan tugas dengan profesional dan menangkap jerung-jerung besar yang terlibat dengan rasuah.
“Terlalu banyak kes (dilaporkan terus) yang libatkan individu berkedudukan tinggi sebelum ini terlepas dari tindakan, dan akhirnya kita tidak tahu apa terjadi dengan maklumat dan bukti yang diberikan.
“Lihatlah skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), akhirnya Tun Ling Liong Sik hanya didakwa atas tuduhan ringan yang tidak beri gambaran sebenar rasuah yang dilakukan,” katanya.
Beliau merujuk kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek PKFZ.
Kegagalan ini, katanya lagi, memaksa beliau dan pihak lain membawa sebarang skandal rasuah kepada pengetahuan umum.
“Saya akan teruskan (pendedahan di media) dan sarankan mana-mana pihak untuk buat perkara sama, kerana media sahajalah pilihan yang ada,” katanya ketika ditemui di Parlimen
Pada 27 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah Datuk Seri Mohd Radzi Syeikh Ahmad menggesa agar rasuah tidak dipolitikkan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Mohd Shukri Abdull dalam Wacana anjuran
Sinar Harian Mac lalu turut menyuarakan hal sama dan meminta semua pihak berhenti mendedahkan kes rasuah kepada media.
Sehubungan itu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli disoal siasat empat pegawai SPRM kerana mendedahkan campurtangan Perdana Menteri dalam pemberian tender
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, Rafizi akan membuat laporan rasmi kepada SPRM seberapa segera yang mungkin dan suruhanjaya itu diminta bertindak dengan segera.