Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai panglima perang yang telah berjaya dalam pertempuran hebat Pilihan Raya Negeri di 6 negeri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kejayaan Anwar terserlah kerana berhasil mempertahankan tiga kubu kuat PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Anwar adalah panglima perang dalam PRN ini. Walaupun dia belum berjaya menembusi kubu Pas dan PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi kejayaan Anwar mempertahankan tiga negeri yang menjadi kubu kuatnya adalah penting diiktiraf.
“Anwar sebagai PM, PH sebagai gabungan politik dan KEADILAN tidak tewas dalam PRN ini. Memang ada beberapa kawasan yang tumbang ke tangan PN, tetapi secara strategik tiga negeri dikuasai PH sebelum ini masih kekal,” kata Hassan dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hassan menegaskan, keputusan PRN Sabtu lalu wajar dikaji dan diteliti oleh pemimpin Kerajaan Perpaduan sebelum gabungan itu menghadapi pilihanraya seluruh negara yang lebih besar, iaitu Pilihan Raya Umum ke 16.
Pada pandangan beliau, keutamaan Anwar ketika ini adalah untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang jelas telah banyak berpindah kepada PN dalam PRN lalu.
“Jika dilihat kempen dan propaganda PN dalam PRN yang baru baru ini, seolah-olah PH-BN akan tewas teruk dan tiga negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dikuasai mereka.
“Anwar kini semakin berpengalaman, semakin berwawasan dan akan sedia bermuhasabah diri setelah melalui PRN yang amat sengit dan cukup mencabar.
“Beliau perlu terus diberi peluang untuk memikul tugasnya demi selamatkan negara berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang tamadun ini daripada diruntuhkan oleh pemimpin-pemimpin politik berfaham ekstrem kanan dan sektarian yang berada dalam PN,” tegas Hassan lagi.
Dalam PRN 12 Ogos PH juga telah membuktikan mendapat undi popular paling tinggi apabila PN membandingkan pilihanraya itu sebagai referendum meminta Anwar dan Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi berundur.
Gabungan PH – BN menerima 3,399,472 undi bagi 6 negeri, sedangkan PN mendapat 3,382,466 undi. PH – BN memperolehi majoriti 17,002