‘Demonstrasi Oren Selamatkan Felda’ membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) Berhad pada 14 Julai ini mendapat sokongan padu KEADILAN.
Timbalan Setiausaha Agungnya T. Kumar berkata, penyenaraian yang dilaksanakan oleh kerajaan BN amat menindas peneroka dan mereka berhak membantah.
“KEADILAN menyokong demonstrasi itu kerana kita nampak penyenaraian ini tidak membawa keuntungan kepada peneroka
“Dari segi jangka panjang, kerugian lebih besar ditanggung peneroka. Begitu juga 840,000 ekar tanah yang dipajakkan oleh FGVH. Tanah itu kini dibuka kepada pembeli saham termasuk pelabur asing,” katanya.
Menyokong tunjuk perasaan, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN Rebin Birham juga menggesa ahli-ahli KEADILAN menyertai demonstrasi tersebut bagi menunjukkan kepada kerajaan BN rakyat menentang kezaliman ke atas peneroka.
“Kita akan turun berdemonstrasi. Kita sedang menggerakkan peserta, terutama golongan peneroka dan generasi kedua menyertainya.
“Pemimpin-pemimpin parti juga dijangka turut hadir dalam demonstrasi bagi menzahirkan sokongan terhadap tuntutan peneroka,” ujarnya.
Demonstrasi tersebut dianjurkan pada jam 2 petang. Lokasi berhampiran masjid Wilayah Jalan Duta dan akan berarak ke Istana Negara. Semua aktivis Pakatan Rakyat dan NGO dijemput hadir memperlihatkan solidariti melawan penindaan kerajaan BN ke atas peneroka