Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan berlaku satu kejutan besar dalam politik Sabah pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian dalam ceramah umum Pakatan Rakyat (PR) di Berchang, Kuala lipis, Pahang malam tadi.
“Akan ada kejutan dalam pilihan raya akan datang. Sabah khasnya akan menyaksikan satu kejutan besar
“Sebab itu Najib takut nak umumkan tarikh pilihan raya. Bila nak tunggu tarikh kena tanya Rosmah, Rosmah pula tengok Najib. (Dua-dua) tak boleh nak tahu tarikh pilihan raya,” katanya disambut tepukan para hadirin.
Baru-baru ini bertiup spekulasi 12 pemimpin BN Sabah akan menyertai KEADILAN. Mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Menteri Musa Aman yang mahu menaikkan orang-orang kepercayaan beliau menjadi calon dalam PRU akan datang. Situasi itu menyebabkan Najib masih mahu menangguhkan PRU sehingga kemelut Sabah dapat diselesaikan
Selain itu, Anwar mengulangi janji-janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Rakyat. Katanya, sebaik sahaja PR menang maka harga minyak akan diturunkan, kadar elektrik dan menyediakan pendidikan percuma
“Pakatan akan melaksanakan janji termasuk menurunkan harga minyak, tarif eletrik, mengkaji PTPTN dan memberikan pendidikan percuma,” katanya.
Beliau juga mengulangi bahawa pelabur Arab akan datang dengan sejumlah besar pelaburan sekiranya beliau diberikan amanah sebagai Perdana Menteri oleh rakyat.
Biarpun dalam hujan lebat ceramah di Berchang berjaya menghimpunkan 5,000 orang. Mereka menunggu sehingga Anwar menghabiskan ucapan. Jelas kelihatan gelombang perubahan sedang melanda rakyat Pahang yang beberapa tahun lalu tidak berminat menghadiri ceramah parti pembangkang.