Tindakan kerajaan pusat BN menyokong tindakan Syabas dalam pertikaian dengan kerajaan Selangor seolah-olah mensabotaj hak rakyat Selangor meanikmati bekalan air percuma.
Selangor telah membayar RM11 juta sebulan bagi mengurangkan beban isi rumah dalam memberi 20 meter padu air bersih secara percuma. Dengan tekanan oleh kerajaan BN, agar Selangor membina empangan Langat 2 bernilai RM7 bilion dan tarif air terpaksa dinaikkan sebanyak 70 peratus, dijangka kerajaan Selangor akan menghadapi masalah membekalkan air percuma pada waktu hadapan.
Exco Selangor Rodziah Ismail, kecewa atas tindakan keji kerajaan BN dan meminta golongan wanita di Selangor memahami masalah yang dihadapi kerajaan negeri.
“ Senario ini sekaligus memberi kebimbangan kepada kaum wanita apabila air dicatu di bulan Ramadan. Urusan rumahtangga terganggu. Anak-anak tidak terurus sehingga amalan ibadah juga turut terganggu.
“ Jika memberi air percuma telah mengurangkan keuntungan Syabas yang selama ini begitu mewah (perlu diteliti semula gaji RM5.1 juta setahun pengerusi Syabas dan kos operasi Syabas yang sangat tinggi), hasil dari mengambil kesempatan mencaj rakyat lebih dari sepatutnya di atas penggunaan air, maka situasi itu perlu diubah.
“Suatu pendekatan memberi kebajikan dan keselesaan tanpa pembaziran dan kos yang berlebihan merupakan sesuatu yang dianggap terbaik untuk rakyat Selangor oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.
Rodziah juga meminta Syabas menarik balik catuan air yang tidak sepatutnya berlaku ke atas rakyat Selangor memandangkan empangan-empangan utama di Selangor dipenuhi air mentah tetapi gagal diproses Syabas.
“Syabas perlu menarik balik hasrat dan tindakannya mencatu air dan menaikkan harga air menghampiri 40% di Selangor kerana ia sama sekali tidak memelihara kebajikan dan hak rakyat jelata serta tiada sebarang ancaman kehabisan air untuk meneruskan bekalan air seperti biasa di negeri ini.
“Jika Syabas tiada idea untuk mengurus air tanpa rakyat jelata dikenakan kos tinggi, maka berilah laulan kepada Kerajaan Negeri untuk menguruskannya.
“Dituntut Syabas tidak menjadi dalang utama dengan cuba menyekat bekalan air di Selangor dan terus menghalang umat Islam mempertingkatkan ibadah mereka dalam bulan Ramadhan ini,” katanya.