Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didesak memberikan segera wang royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sebelum Parlimen dibubarkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) KEADILAN kawasan Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.
Jika Najib enggan katanya, ia jelas membuktikan presiden Umno itu sengaja bertindak demikian demi kepentingan sempit politiknya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau Najib ikhlas berikan sahaja wang royalti kepada rakyat Kelantan, selesai masalah, malangnya Najib hanya bermain politik dengan mewujudkan pula Jawatankuasa Khas
“Bagi kami, jawatankuasa ini tidak perlu kerana perjanjian bertulis sudahpun wujud sejak 12 Disember 1975 iaitu dizaman Tun Razak menjadi Perdana Menteri,” katanya dihubungi Suara Keadilan.
Beliau turut menyokong kenyataan Menteri Besar (MB), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendesak Najib memendek tempoh kajian jawatankuasa itu mengenai pembayaran hasil petroleum dari enam bulan kepada tiga bulan.
“Tubuh jawatankuasa ini hanya helah politik Najib menjelang PRU kerana enam bulan itu merujuk kepada tempoh parlimen dibubarkan, maka kita sokong kenyataan MB agar tempoh kajian jawatankuasa hanya tiga bulan.
“Apa yang penting bagi rakyat Kelantan, wang royalti itu harus segera disalur kepada kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan segera boleh dilakukan,” katanya lagi.
Sejak Umno BN tumbang di Kelantan pada 1990 hingga kini, parti itu terus menekan dan menafi hak rakyat negeri itu dari pelbagai sudut termasuk enggan membina lebuh raya walau ia dijanjikan kerajaan persekutuan.