Tiga tahun lalu pemimpin BN bersungguh-sungguh mempersoal tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin membeli 16 buah ‘Toyota Camry’ dengan kos sebanyak RM 167,000 sebuah untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan anggota Exco menggantikan Proton Perdana V6 yang sering rosak. Kononnya Nizar tidak patriotik dan membazir dalam isu itu.
Bagaimanapun, hari ini ternyata pemimpin BN terpaksa menjilat kembali ludah apabila kerajaan negeri di bawah pentadbiran MB Zambry Kadir membeli tiga buah kereta ‘Nissan Fuga Hybrid’ untuk kegunaan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri baru-baru ini.
Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al Hiss memohon penjelasan Kerajaan Negeri dalam isu ini. Beliau bertanya, adakah Kerajaan Negeri pimpinan Dr Haji Zambry Kadir tidak ‘patriotik’ dalam isu terbaru ini?
“Jika isu pembelian kereta rasmi kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dahulu dikatakan tidak ‘patriotik’ adakah dakwaan sama juga boleh ditujukan kepada Datuk Seri Zambry? Adakah Datuk Seri Zambry menepati kritikannya janji berbelanja secara berhemah seperti yang pernah dilontar kepada Datuk Seri Nizar ketika itu?
“Jika dengan model Nissan tersebut, iaitu Infiniti M25 – 2.5-litre V6 / 7-speed automatic yang mencecah RM 350,000 sebuah, adakah kerajaan negeri berhemat di dalam kos pembelian? Kami mendesak ketelusan dan keterbukaan Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini kerana ianya melibatkan kewangan rakyat dan keyakinan rakyat. Dan penting juga adakah ianya dibuat secara pembelian terus atau sebaliknya?” soal beliau