Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merasakan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir sengaja berdolah dalih mengenai gesaan agar penyata kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) diperlihatkan kepada seluruh rakyat.
Demikian ditegaskan oleh Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Salman Hj Salleh. Menurutnya, penyata kewangan itu penting didedahkan bagi membendung salahguna peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada YBUDR selama ini.
“Bagi kami jika kepimpinan Datuk Seri Zambry bersih dan telus, mengapa tidak berani dan takut untuk memastikan ketelusan kewangan YBUDR dipaparkan setidak-tidaknya di dalam laman web rasmi sepertimana dilakukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) kini.
“Sebelum Datuk Zainal Abidin Omar memegang jawatan Ketua Eksekutif YBUDR, telah ada desakan agar Khairul Azwan Harun yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak yang menyandangnya ketika itu agar digantikan.
“Dalam masa sama Khairul Azwan masih Timbalan Ketua Eksekutif YBUDR dan juga sebagai nakhoda kepada anak syarikat YBDUR iaitu YBU Holding Sdn. Bhd. Perkara ini amat mencurigakan. Atas beberapa faktor inilah kami lihat ketelusan kewangan YBUDR perlu dilihat telus malah mesti dilihat lebih telus kerana jutaan ringgit disalurkan oleh kerajaan negeri kepada YBUDR sebagai salah satu institusi milik kerajaan negeri yang paling banyak diberikan peruntukan saban tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, Dewan Pemuda PAS menyifatkan Datuk Seri Zambry tiada ketelusan dan integriti andainya masih lagi menyembunyikan kebenaran kerana tiada apa yang perlu ditakuti jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Dahulu apabila dicabar agar mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor supaya semua EXCO Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta dan dipamerkan di dalam laman web rasmi kerajaan negeri, Datuk Seri Zambry hanya memberikan pelbagai dan tidak mahu melaksanakannya. Bagi kami, jika sesuatu perkara itu baik dan menunjukkan ketelusan wajarlah Datuk Seri Zambry sebagai ketua sebuah kerajaan melakukannya demi kepentingan rakyat!” sinisnya.