Usaha yang dilakukan oleh BN untuk melaga-lagakan parti komponen dalam Pakatan rakyat tidak akan berjaya. Demikian kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim ketika ditemui semasa sambutan bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang di Rumah Terbuka Aidilifitri bertempat di Taman Guar Perahu, Penanti, baru-baru ini
Katanya, PR tidak mudah melatah untuk menyahut sandiwara yang direkacipta UmnoBN.
“Umno-BN sedang menanti perpecahan berlaku.Apabila ini terjadi, mereka akan mula menyusun strategi bagi meranapkan sokongan kuat yang ada pada PR.
“Pelbagai bentuk isu akan mereka mainkan. Ini termasuklah agihan dan kedudukan kerusi dalam pilihan raya.
“Walau bagaimana pun, Permatang Pauh akan tetap saya pertahankan bagi memberi pembelaan kepada masyarakat yang amat mengharapkan nasib mereka dibela, ” ujarnya lagi.
Beliau juga mengingatkan komponen PR supaya tidak mudah melatah dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh Umno-BN bagi memecahkan benteng kekuatan yang sedia terjalin selama ini.
“Apabila kita tidak melatah, isu yang mereka timbulkan akan mati dan berlalu begitu sahaja, ” tambahnya lagi. Sebelum Hari Raya media pro BN memainkan isu Negara Islam dan mengharapkan berlaku pertelagahan hebat antara PAS dan DAP. Taktik itu dilakukan berikutan spekulasi pilihan raya umum akan diadakan pada 28 Oktober, iaitu dua bulan dari sekarang dan BN perlu memastikan kubu-kubu kuatnya tidak berjaya ditembusi PR setelah hampir pasti kehilangan Sabah.
Hadir sama dalam majlis rumah terbuka tersebut Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri P.Pinang, Lim Guan Eng dan isteri, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy, Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain dan kepimpinan PAS dan DAP.