Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merasa kesal dengan dua insiden memalukan yang berlaku ketika ambang sambutan kemerdekaan negara dan ketika majlis raptai sambutan kemerdekaan negara peringkat negeri Perak baru-baru ini.
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Ahmad Nuri Al-Amin berkata kerajaan negeri tidak langsung mencegah gejala social ketika sambutan ambang merdeka.
“Kami ingin dedahkan bahawa tiada usaha pencegahan daripada Kerajaan Negeri Perak melalui Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) ketika banyaknya berlaku insiden sumbang gejala sosial di kalangan anak muda di ambang sambutan malam 30 Ogos setelah pihak JAIPk tidak dibenarkan menjalankan operasi pencegahan.
“Selain itu tersebar di media sosial petugas media ditegah menjalankan tugas mereka setelah pelbagai gambar kejadian tersebut didedahkan. Ianya menunjukkan seperti berlaku perkara yang ingin disembunyikan dari pengetahuan umum.
“Sudah tentu kedua-dua insiden ini amat mengecewakan rakyat Perak dan ianya perlu dijelaskan dengan segera.
“Kami mendesak agar Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir memberikan penjelasan di atas kedua insiden ini dimana beliau mempunyai bidang kuasa bagi memulihkan kembali keadaan yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya.
Dewan Pemuda PAS tambahnya mengharapkan suasana seperti itu tidak akan berulang berikutan dan menjejaskan nama baik negeri Perak.
“Jika sekatan terhadap pencegahan gejala sosial pada malam ambang sambutan kemerdekaan negara boleh dikesampingkan, bagaimana pula tindakan sekatan ini dialih dan diarahkan kepada petugas media yang hanya menjalankan tugas mereka. Dua keadaan kontra yang tidak sepatutnya ini menunjukkan suasana yang perlu dinilai sendiri oleh rakyat negeri Perak khasnya,” katanya.