AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melancarkan Skuad Denggi yang telah dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar.
Seramai 30 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang dipilih untuk menyertai Skuad Denggi.
Skuad tersebut bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran sekolah sentiasa berada di dalam keadaan bersih supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pelajar-pelajar tersebut juga akan membantu MPAJ melakukan pemeriksaan rumah-rumah di tepi sekolah sebelum dan selepas waktu persekolahan kata, Dr Xavier kepada pemberita.
Menurut Dr Xaiver, kawasan sekolah adalah lokasi pembiakan nyamuk Aedes yang tertinggi selepas rumah terbengkalai dan kawasan kilang.
“Kawasan sekolah penting kerana anak-anak kita akan pergi sekolah mulai jam 6.30 pagi sehingga 7.30 pagi dan pada waktu itulah nyamuk aedes aktif,” katanya.
Sementara itu, Guru Sekolah Mogana Sudari pula berkata, saya menyambut baik langkah MPAJ bersama pihak sekolah bagi mempergiatkan aktiviti mencegah wabak ini.
“Saya setuju program yang ini dan ia harus diteruskan ke sekolah-sekolah yang lain,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program tersebut di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang di sini.
Dr Xavier turut melancarkan Skuad Combi bagi penduduk Pangsapuri Seri Nilam.
Beliau bekata, terdapat 13 kes denggi dilaporkan bagi kawasan Ampang mulai Januari sehingga September 2012.
Di samping itu, Dr Xavier berkata kerajaan negeri akan menerbitkan risalah denggi di dalam pelbagai bahasa bagi mendidik pekerja-pekerja asing tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah pembiakan nyamuk aedes.
Risalah tersebut akan diedarkan di kawasan-kawasan di mana pekerja asing menjadi penyewa.
“Kita faham di Selangor, pekerja-pekerjanya datang daripada pelbagai negara seperti Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.
“Mereka tidak faham bahasa Malaysia dan sebab itu kita ambil inisiatif menerbitkan risalah ini sebagai pemberitahuan kepada mereka supaya menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang sepatutnya,” katanya.
Hadir Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain.