Dalam hujan lebat bermula jam 2 petang dan dengan padang yang basah dan becak, tidak menghalang kira-kira 25 ribu orang hadir dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di padang Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan malam tadi.
Sungguhpun dengan keadaan padang dan kawasan yang becah, rakyat terus beruduyun-duyun datang ke tapak perhimpunan. Keadaan terus hujan hingga ke pukul 10 malam, namun rakyat tidak berganjak dan terus menunggu sehingga acara tamat.
Perhimpunan tersebut adalah anjuran gabungan dari tiga parti dalam Pakatan Rakyat yang mana ia menjadi detik countdown sehingga PRU 13 kelak. Perhimpunan malam tersebut merupakan permulaan dan akan menjelajah kebeberapa buah negeri bagi meneruskan kempen ke atas tuntutan pilihan raya bersih dan adil.
Menurut Mat Sabu, yang juga Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat bahawa Negeri Sembilan dipilih sebagai destinasi pertama kerana ia menjadi sasaran awal negeri keenam yang akan diambil alih oleh PR. ” Bila tiba hari mengundi, jam 7 malam (keputusan diumumkan), Wisma Negeri kita telah tawan,” ujar Timbalan Presiden PAS tersebut.
Turut menghadiri perhimpunan ini ialah Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, Lim Kit Siang, Azmin Ali, Anthony Loke dan barisan kepimpinan kanan parti DAP, PAS dan PKR.
Menurut Mat Sabu lagi perhimpunan seumpama itu, bakal diteruskan di Stadium Muhammad ke-IV di Kelantan pada 16 November ini sebelum diikuti di beberapa negeri mengikut zon – Pahang, Kedah, Johor, Perak dan seterusnya ke Melaka, Pulau Pinang dan Perlis.
Beliau turut menambah bahawa acara kemuncak perhimpunan tersebut akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Januari tahun depan dengan sasaran sebanyak sejuta rakyat akan berhimpun menuntut pilihanraya bersih dan adil.
“Perhimpunan seluruh rakyat di Kuala Lumpur akan menyokong tuntutan semua gerakan berwarna Hijau (Lynas), Merah (Royalti Kelantan), Oren (Anak-Felda), Kuning (BERSIH) atau apa-apa warna sekalipun,” jelas beliau.
Turut berucap pada malam tersebut ialah Anthony Loke, Ketua DAPSY; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Datuk Kamarul Baharin Abbas, Ketua MPN PKR Negeri Sembilan.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya memeterai dengan membaca satu persefahaman untuk mendokong dan menjunjung Undang-undang Tubuh negeri serta Tonggak Nan9 iaitu janji untuk membela rakyat termasuk Orang Asal jika diberi kepercayaan mentadbir negeri itu.
Turut mengambil tempat pada perhimpunan itu ialah Sasterawan Negara dan Pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said yang mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Pelamin Kuasa’ yang mendapat tepukan gemuruh para hadirin.
dipetik dari KLdaily