Naib Presiden KEADILAN Nurul Izah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog media berkaitan laporan isu kebebasan beragama, yang didakwa berunsur fitnah, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam sidang medianya.
Izzah dalam satu kenyataan media menegaskan, beliau mengarahkan dua peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk melaksanakan tindakan tersebut.
“Saya telah mengarahkan peguam saya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah aqidah yang memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari.
“Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan,” katanya.
Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk ‘Melayu Bebas Pilih Agama?’ dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.
Laporan itu berkata, pada forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’, Nurul Izzah didakwa menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menegaskan, beliau tidak bercadang untuk mengulas kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kerana ia disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.
“Saya ditanya tentang isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berhubung isu bebas untuk memilih agama.
“Saya lihat akhbar yang meletakkan isu ini di muka hadapan ialah akhbar yang sudah berkali kali kalah di mahkamah kerana menyiarkan laporan palsu dan tidak tepat.
“Justeru, saya kira amat tidak wajar memberikan ulasan hanya semata-mata berasaskan laporan akhbar ini,” katanya.
Nik Aziz berkata demikian melalui kenyataan ringkas yang disiarkan dalam facebooknya hari ini. Dalam masa sekejap sahaja beribu-ribu pengikut facebook beliau share kenyataan beliau itu dalam facebook mereka.