Walaupun hujan lebat, namun tak menghalang kira-kira 200 peserta Himpunan Hijau berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur selama 14 hari bagi membantah pembinaan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.
Menurut AJK pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin, kempen yang dinamakan ‘Langkah Lestari’ bermula jam 7.00 pagi tadi di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 dan melibatkan 13 hentian sepanjang laluan Lebuh Raya Pantai Timur menuju Kuala Lumpur.
“Setakat ini tidak ada halangan. Hanya beberapa anggota polis beruniform dan cawangan khas (SB) memerhati kumpulan kami.
“Kami rancang akan sampai ke Parlimen pada hari Isnin, 26 November,” kata Clement, yang masih berjalan menuju pekan Gambang ketika dihubungi Keadilandaily.
Tambahnya, Langkah Lestari turut disertai 13 penduduk Murum dan Baram, Ssarawak yang membantah pembinaan empangan di perkampungan mereka, selain puluhan aktivis alam sekitar tempatan.
“Malam ini kita bermalam di Seri Jaya dekat Maran. Walaupun hujan lebat, cuaca buruk kita teruskan. Tak apa, kita pakai baju hujan dan terus berjalan,” kata Clement.
Difahamkan, peserta akan berjalan bermula jam 5 hingga 10 pagi dan 4 hingga 7 petang setiap hari.
“Kita alu-alukan sesiapa yang mahu bantu. Apa sahaja dan sangat digalakkan,” kata Clement sambil menambah, bantuan termasuk siaran media,
Tambah Clement, maklumat perjalanan, lokasi hentian dan aktiviti sepanjang 14 hari kempen ‘Langkah Lestari’ boleh dilayari di laman facebook www.facebook.com/pages/Himpunan-Hijau-20-Langkah-Lestari.