Perjalanan epik yang panjang dan berliku 300 kilometer dari Kuantan berakhir dengan kejayaan gilang gemilang. Langkah Lestari Hijau berjaya tiba di Dataran Merdeka pada pukul 5.00 petang tadi.
Lebih manis mereka berjaya masuk dan duduk bantah di pinggir Dataran Merdeka, sesuatu yang tidak berjaya dilakukan oleh Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Biar pun Datuk Bandar Kuala Lumpur mengharamkan Dataran Merdeka daripada dimasuki kumpulan itu, namun dengan semangat cekal dan taktik yang berkesan mereka berjaya melepasi halangan di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran.
Dataran ditutup sejak tengah hari tadi, namun oleh kerana peserta Langkah Lestari yang kecil jumlahnya kira-kira 500 orang bermula di Markas Tarbiyah PAS maka kawalan keselamatan di Dataran tidak seberapa. Namun menjelang jam 3.00 petang kira-kira 12,000 peserta lain menanti Himpunan Hijau di hadapan kompleks Maju Junction, 2 kilometer dari Dataran.
Pihak berkuasa yang menurunkan sejumlah kecil anggota menutup Dataran Merdeka tidak mampu berbuat apa-apa apabila peserta Langkah Lestari ‘menyerbu’ Dataran sejam kemudian. Akhirnya 20,000 peserta berjaya mara ke pinggir padang dataran Merdeka. Ketua kumpulan Wong Tack berucap di pinggir Dataran itu.
Wong dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka.
“Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita.
“Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh,” katanya.
Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.
Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.
Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjalan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta petang tadi ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.