Polis dicabar menyiasat dakwaan Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan berhubung arahan Perdana Menteri agar penyiasat persendriain, P Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah pertamanya pada 2008.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, siasatan itu penting kerana Balasubramaniam dalam akuan bersumpah tersebut mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
“Kes Deepak ini satu lagi perbicaraan rakyat terhadap keupayaan dan kebebasan pihak berkuasa dalam menyiasat kes yang melibatkan orang-orang politik.
“Sudah tiga minggu pendedahan Deepak. Tak ada-apa tindakan oleh Polis. Seolah mengiyakan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan bahawa selama ini Polis tidak ada kebebasan menyiasat dan wujud pilih kasih dalam pendakwaan,” katanya kepada Suara Keadilan.
“Kita nak tunggu apa tindakan pihak berkuasa. Jika berterusan diam, rakyat yang akhirnya membuat penilaian. Persepsi akan timbul bahawa, memang benarlah kes pembunuhan Altantuya ini ada kaitan dengan orang peringkat tertinggi dalam pentadbiran negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul atau lebih dikenali sebagai Jonah menegaskan, penangguhan bicara rayuan dua pegawai Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar yang merupakan bekas pengawal peribadi Najib Razak hanya berupaya melengahkan kejatuhan Najib.
“Orang Umno sendiri tidak bersungguh mempertahankan Presiden mereka. (Pembelaan kepada Najib) sekadar tak mahu kapal (Umno) karam. Apa yang dibuat hanya percubaan menutup kes. Tapi sejauh mana boleh dilakukan?, kata Jonah.