Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan, pengubahan perakuan sumpah (SD) P Balasubramanian adalah serius dan berbahaya sehingga akhirnya menyebabkan penyiasat persendirian itu terpaksa lari ke luar negara.
“Dia (Balasubramaniam) nyatakan secara terbuka. Selepas sebut benda yang begitu serius, dia menarik balik (SD) yang ada kaitan dengan dirinya sendiri.
“Sebab itu kita minta Polis dan SPRM siasat apa yag disebut oleh Deepak,” katanya merujuk pendedahan ahli perniagaan permaidani, yang rapat dengan keluarga Najib Razak.
“Siasat kembali (dakwaan) Balasubramaniam. Kes ini tak boleh diselindung. Apakah ini konspirasi? Adakah Balasubramaniam berniat jahat nak rosakkan nama Najib Razak?
“Sebagai rakyat, kita nak tahu sama ada betul-betul kejadian itu berlaku,” kata Johari merujuk lima perkara ‘serius’ dari keseluruhan 54 perenggan SD pertama yang ditandatangani Balasubramaniam pada 3 Julai 2008.
Perkara tersebut ialah: 25. “Ketika perbincangan ini dibuat dalam usaha memujuk saya melanjutkan pekerjaan dengan dia, Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahwa:
25.1 Dia telah diperkenalkan kepada Aminah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pameran berlian di Singapura.
25.2 Datuk Seri Najib Tun Razak Abdul Razak Baginda memberitahu bahawa, dia menjalinkan hubungan seks dengan Aminah dan disyaki juga secara anal (anal intercourse)
25.3 Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Abdul Razak Baginda memerhati Aminah kerana dia (Najib) tidak mahu dia (Aminah) mengganggunya kerana beliau sekarang berjawatan Timbalan Perdana Menteri.
25.4 Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdul Razak Baginda dan Aminah bersama dalam satu makan malam di Paris.
25.5 Aminah mahukan wangnya, kerana merasakan berhak atas komisen USD500.000 atas urusniaga kapal selam yang dibantunya di Paris.
“Dia sebut dengan jelas. Namun dia tarik balik. SD 2 disediakan oleh seorang peguam. Untuk buat perakuan bersumpah tidak mudah. Tindakan peguam menyediakan atau draf SD adalah berat. Harus diambil tindakan kalau salah,” tegas Johari.
Ketika ditanya mengenai lafaz sumpah Najib Razak di Masjid Guar Perahu, pada 22 Ogos 2008 menafikan tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, Johari mengulas, ‘itu bukan hal yang utama’.
“Sebab itu kita minta siasat kelima mereka sama ada wujud unsur fitnah atau elemen rasuah. Harus dijelaskan nama pm dan polis kena ambil tindakan,” katanya.