Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri mendedahkan, Barisan Nasional Selangor telah menyalahi tiga peraturan iaitu Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 2011, dan Sijil Perakuan Halal Jakim.
Ia berikutan pembekalan air mineral percuma berjenama ‘Nurani Rakyat’ dalam kempen Sayangi Selangor oleh Barisan Nasional tidak pernah disahkan kualitinya mengikut piawaian yang ditentukan kerajaan.
“Sebab itu kita minta Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia siasat dan ambil tindakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana hari ini.
Yahya membandingkan air mineral berbotol yang dikeluarkan syarikat komersil mematuhi sepenuhnya piawaian, sedangkan pembekalan produk yang dibuat syarikat BN yang langsung tidak tertera dibiarkan itu dibiar melanggar undang-undang.
“Sepatutnya pada botol ini tertulis jenis punca air dan lokasi diperolehi, kandungannya dan nama syarikat yang membotolkan, tapi langsung tak dinyatakan,” kata Yahya.
Yahya turut mempersoalkan kesahihan logo Halal Jakim yang dipapar pada produk berkenaan. Manakala jenis penutup botol air mineral ‘Nurani Rakyat’ itu berwarna biru, tanda kepada jenis air galian bawah tanah, namun diragui sumbernya.
“Bagaimana kalau saya katakan air ini berpunca dari air paip Syabas? (Syarikat Bekalan Air Selangor), soal Yahya.
“Sendiri jadi menterim sendiri buat peraturan, sendiri yang langgar. BN tipu rakyat di program dianjurkan BN sendiri. Ini penyalahgunaan logo yang jelas. Kita yakin dalam masa kempen pilihan raya, air ini akan dibekalkan secara meluas di program anjuran mereka,” katanya.
Menurut Yahya, melalui pemerhatiannya pengeluaran produk tersebut menyalahi Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Sijil Perakuan Halal Jakim.
“Bagi kesalahan dibawah Akta Perihal Dagangan 2011, syarikat atau institusi yang melakukan kesalahan boleh didenda sebanyak RM10 juta, manakala RM2 juta bagi kesalahan individu,” kata Yahya.
Manakala penyalahgunaan sijil dan logo halal Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri boleh didenda maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna.