Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Mohd Yusof mesti meletakkan jawatan kerana membiarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengadakan ‘latihan mengundi BN’ kepada masyarakat orang Asal di Tapah, Perak.
Ahli jawatankuasa pemandu Bersih Maria Chin berkata, membiarkan perkara itu bermaksud membenarkan salahguna dan penyelewengan jentera kerajaan oleh parti politik.
“Pengerusi mesti letak jawatan. Apa yang berlaku bersalahan dengan undang-undang. Membiarkan JAKOA mengadakan ‘latihan mengundi BN’ sangat menjijikkan,” kata Maria kepada Keadilandaily.
“Membenarkan latihan tersebut diteruskan bermakna memperlekeh hak orang Asal. Ini tindakan initimidasi kepada kelompok yang terpinggir,” katanya dengan nada tegas.
“Pihak yang terlibat seperti sengaja memilih kumpulan masyarakat seperti ini. Jadi, tidak mustahil perkara ini boleh terjadi di Sabah dan Sarawak,” katanya menyuarakan kebimbangan.
Dalam pada itu, Maria menyatakan Bersih dan 82 NGO yang bernaung dibawahnya akan membincangkan bagi mengambil tindakan atas laporan tersebut.
Berhubung kenyataan Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa proses pilihan raya di negara masih lagi belum lengkap seperti sesetengah negara yang lebih maju demokrasinya, adalah kesalahan bekas Pengerusi SPR itu sendiri.
“Sebelum ini dia yang sibuk mencanangkan untuk mengadakan perubahan perlembagaan dan struktur SPR, tapi tidak ada apa yang berlaku.
“Semasa menjadi Pengerusi SPR mengapa tak buat? Mengapa sekarang baru bercakap? Kita telah hantar 15 tuntutan melalui memorandum pada 2010. Sampai sekarang tak disentuh.
“Dari lapan tuntutan, hanya satu yang hanya baru untuk ditunaikan (penggunaan dakwat kekal),” kata Maria menyelar dolak-dalik Abdul Rashid.
“Tapi yang paling penting ialah SPR itu bebas, bukan lagi terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri. SPR patut melapor terus kepada Parlimen dan ahli Dewan Rakyat.
“Dan SPR sepatutnya mempunyai kuasa dan badan penguatkuasanya sendiri,” jelas Maria sambil menambah, ‘latihan mengundi BN’ di Perak tidak berlaku sekiranya SPR berkuasa mengambil tindakan.