‘Tindakan keras’ diambil terhadap satu dua pegawai rasuah untuk ‘menakutkan’ kakitangan kerajaan lain adalah kejulingan politik, tegas Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat, Syed Hamid Ali.
Beliau menyelar ucapan Dr King Ban Siang, bakal calon MCA DUN Bandar Penggaram pada satu jamuan 23 Disember lalu yang mencadangkan tindakan keras hanya diambil terhadap satu atau dua pegawai untuk menakutkan yang lain.
“Mengapa pegawai-pegawai kerajaan saja yang dia nampak dan mahu dikorbankan? Tidak nampakkah dia pada jerung dan buaya yang lebih besar lagi ganas di kalangan pemimpin utama BN?, kata Syed Hamid dalam kenyataan.
Berdasarkan tinjauan Transparency International (TI) mengenai Barometer Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan dari 48 peratus kepada 2010 kepada 49 peratus pada 2011.
Manakala kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh dari tangga 56 pada 2010 kepada 60 pada 2011.
Sebelum ini, Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik dituduh memperdayakan Kabinet antara September 25 dan Oktober 6 2002 meluluskan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ.
Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) melaporkan kerajaan Malaysia boleh menjimatkan RM645.87 jika tanah itu dibeli mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.
PAC melaporkan kos membeli tanah itu adalah RM47.76 sekaki persegi atau 67 peratus lebih tinggi dari harga ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (RM25 sekaki persegi)
“Apakah Dr King sudah juling politik; atau sememangnya dia bertujuan untuk mengaburkan kebenaran?
“Kalau benarlah begitu, dia telah menampakkan ‘kaki ular’ nya. Inilah jenis bakal calon MCA yang menjadi pilihan Chua Soi Lek untuk pilihanraya akan datang,” kata Syed Hamid.