Masalah air di Selangor adalah sabotaj politik Umno-BN yang direstui Najib Razak untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri ini, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Umno yang direstui Najib Razak mengambil keputusan mensabotaj bekalan air Selangor. Saya yakin permainan politik ini direstui Najib Razak yang beranggapan satu-satunya jalan untuk mendapat undi memenangi hati rakyat Selangor ialah dengan menyusahkan hidup rakyat.
“Hayat politik Najib sendiri bergantung kepada kemenangan BN di Selangor. Tanpa Selangor, pasti pimpinan Umno akan menggulingkan Najib sebelum atau selepas pilihan raya umum,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini.
Kata Rafizi, alasan kerosakan rumah pam di Wangsa Maju telah melanggar prosedur amalan baik industri kerana Syabas sewajarnya bersedia dengan dua pam simpanan yang boleh berfungsi dan berkeadaan baik.
Tambahnya, alat mekanikal seperti pam air mempunyai tempoh jaminan pemulihan oleh pembekal. Justeru kerosakan hampir sebulan terlalu lama, malah pam boleh diganti baru berdasarkan tempoh tersebut.
“Tak diterima akal apabila Syabas sendiri menerima bekalan air terawat yang dihantar melalui lori-lori.
Sebagai pimpinan yang dipertanggngjawabkan, sabotaj politik Umno-BN ini mesti diselesaikan secara politik juga.
“Saya diarahkan
memberi sepenuh perhatian dalam tempoh terdekat ini berhadapan dengan sabota politik yang melibatkan Umno dan Syabas.
“Pelik bila kawasan yang terkena adalah kawasan yang diwakili KEADILAN seperti di Ampang dan Bandar Tun Razak,” katanya.
Justeru, Rafizi akan menubuhkan ‘Skuad Air’ di setiap kawasan yang terjejas dengan kerjasama Pas termasuk membeli pam air untuk dibekalkan ke perumahan.
Manakala satu kumpulan yang pernah terlibat merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan Syabas.
“Kempen penerangan di seluruh kawasan terbabit akan dijalankan untuk memaklumkan dalang sebenar masalah iar ini adalah Umno dan Syabas,” kata Rafizi.