Kegagalan Malaysia menyegerakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) mencerminkan sikap negatif Umno-BN mematuhi piawaian perdagangan antarabangsa, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.
“Setelah mendapat mandat untuk berunding dengan EU mengenai FTA sejak Oktober 2010, kerajaan Malaysia melengahkan proses rundingan kerana tiada hala tuju dan komitmen kepimpinan.
“Walaupun usaha terbaik dibuat pegawai Malaysia yang berkebolehan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Perdagangan & Industri (MITI) dan Bank Negara, sedikit sahaja kemajuan dicapai.
“Ini kerana keengganan tuan politik mematuhi piawaian antarabangsa mengenai ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus,” kata Azmin dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau mengalukan jaminan duta EU, Luc Vandebon yang bersedia bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan merancang meneruskan rundingan sebaik sahaja selepas pilihan raya umum.
“Kami akui bahawa rundingan adalah kompleks dan tak boleh tergesa-gesa. Tetapi kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat akan lebih baik untuk bergerak secara progresif ke arah rundingan muktamad dengan EU,” kata Azmin.
“Dasar mengenai perolehan, proses tender yang telus, penghapusan politik naungan (rent-seeking) dan amalan diskriminasi serta isu-isu lain urustadbir, adalah selaras dengan keperluan EU,” tambah Azmin.
Luc Vandebon bersama delegasi bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 Januari lalu di ibu pejabat KEADILAN bagi membincangkan perkembangan rundingan FTA antara EU dengan Malaysia.
Anwar menegaskan, falsafah ekonomi Pakatan Rakyat berhubung FTA adalah mengangkat prinsip keadilan dalam perdagangan bebas dan kesaksamaan persaingan.