Penduduk di kawasan Ketua Menteri Sabah, DUN Sungai Sibuga boleh dianggap sebagai kawasan paling mundur dan berisiko dihalau berikutan penempatan mereka dikategori sebagai ‘setinggan berdaftar’.
“Hasil lawatan mendapati kawasan Ketua Menteri ini boleh diketegorikan kawasan mundur dan amat miskin.
“Mereka terus dihimpit dengan masalah pemilikan tanah. Penduduk disini berdepan risiko dihalau tanpa notis dan pampasan oleh kerajaan Umno-BN Sabah,” kata Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Siti Aishah Shaik Ismail.
Siti Aishah berkata demikian selepas melawat lebih 200 rumah di Kampung Tinusa 2 hari ini, sempena siri kedua Jelajah Serikandi KEADILAN Sabah yang bermula 31 Januari dan berakhir 4 Februari 2013.
Katanya, kawasan tersebut terlalu kotor dan tidak terurus, tanpa mengutamakan aspek keselamatan.
Dalam pada itu, Srikandi memberi peringatan kepada kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri Sabah untuk tidak mengamalkan budaya politik ugut dan samseng terhadap rakyat.
Difahamkan, bantuan atas nama kerajaan digunakan sebagai ugutan agar rakyat Sabah tidak bangkit membuat perubahan, lebih-lebih lagi ketika kempen ‘Tukar’ yang semakin kuat dikalangan rakyat Sabah.
“Rakyat semakin cerdik dan berani menuntut hak mereka yang dinafikan selama ini. Mereka tidak mampu diperbodohkan lagi oleh taktik politik kotor..
“Dengan semangat ‘inikalilah’, Srikandi akan membantu bagi menyumbang kearah kemenangan Pakatan Rakyat di Sabah,” kata Siti Aishah.