Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada sebarang pendakwaan dibuat keatas individu yang menjadi punca kematian Mohd Azrul Zulkifli, kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
“Kalau kita tak dapat jawapan yang munasabah, kita pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang lain.
“(Sekarang) masih dalam siasatan, sama ada wujud kes atau tidak,” kata Yusmadi yang juga peguam keluarga Azrul.
Kata Yusmadi, kes tersebut telah menjadi ‘berprofil tinggi’ dan pegawai penyiasat ASP Lim Chee Koon, memberitahunya laporan telah dihantar ke Bukit Aman 8 Januari lalu dan bukan lagi di bawah kendalian Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.
Yusmadi sebelum ini menegaskan kes sepatutya diletakkan dalam Sesyen 30A, iaitu membunuh tanpa niat, berbeza dengan siasatan awal pada 31 Disember 2012 apabila diletakkan di bawah kes trafik.
Dalam kejadian awal pagi 25 Disember 2012, motosikal ditunggang Mohd Azrul, 19, terbabas selepas ditendang anggota polis berpakaian biasa ketika beliau dan rakan-rakan dalam perjalanan ke pusat karaoke sempena hari jadi mangsa.
Malay Mail melaporkan pada 28 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Tuah Masrom berkata, siasatan awal mendapati motorsikal Azrul hilang kawalan dan terlanggar pokok, dijumpai selepas polis meneruskan rondaan.
Namun saksi yang juga rakan mangsa, Asmawi, 29, berkata, arwah meninggal apabila kepalanya terhentak pada pembahagi jalan selepas terjatuh kerana ditendang anggota polis peronda yang berpakaian biasa.