Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat kenyataan Datuk Seri G. Palanivel, Pengerusi MIC Perak yang juga Presiden MIC Pusat yang menjelaskan bahawa Dato’ Seri S. Samy Vellu, bekas Presiden MIC Pusat yang juga bekas Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput yang telah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008 dahulu tidak akan dicalonkan semula sungguh mengejutkan banyak pihak.
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Ahmad Nuri Al Amin berkata Dato’ Seri Samy Vellu telah membuat kenyataan terbuka memaklumkan beliau adalah ‘calon boleh menang’ dan memungkinkan Dato’ Seri Samy Vellu akan bertanding semula pada PRU 13 kali ini. Persoalannya, kata beliau, adakah calon baru yang bakal diketengahkan oleh MIC untuk kerusi Parlimen Sungai Siput adalah ‘calon boleh menang’?
“Adakah juga Datuk Seri Palanivel sebagai ‘calon boleh menang’? Sepatutnya Datuk Seri Palanivel yang juga Pengerusi MIC Perak perlu mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dan bukannya menyerahkan kepada calon lain.
“Ini sebahagian ‘pertembungan terbuka’ yang kini berlaku di dalam MIC Perak dan selepas ini akan berlaku pula di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) yang lain termasuk sekutu baru mereka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang menyokong BN,” katanya.
Tambahnya, perkara itu membuktikan BN terutamanya di Perak masih gagal menyelesaikan ‘isu pembahagian kerusi’ sehingga kini. ‘Calon boleh Menang’ BN juga sehingga kini masih tidak dapat dijumpai atas faktor-faktor ketidak telusan yang sehingga kini dapat rakyat lihat terutamanya isu salahguna kuasa, rasuah dan kronisme yang masih tidak mampu diselesaikan oleh BN!