JERANTUT: “Penyertaan bekas pemimpin Umno dan kakitangan awam kedalam PAS /Pakatan Rakyat merupakan satu fenomena baru dalam politik tanah air, ia sekaligus memperlihatkan Pakatan Rakyat diterima umum sebagai parti yang bakal menggantikan BN,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar ketika mengulas kemasukan bekas ketua kampung Felda Jengka 9 yang menyertai PAS baru-baru ini.
Menurut Hamzah, penyertaan bekas ketua kampung dan ketua Umno Cawangan Jengka 9, Yusuf Hasan dan Isteri memberi satu petunjuk bahawa serangan fitnah Umno kepada pemimpin Pakatan Rakyat tidak berjaya.
Yusof Hasan merupakan bekas ketua kampung Felda Jengka 9 selama 10 tahun ( 1997-2007), menyandang jawatan Ketua Umno Cawangan Jengka 9 selama 20 tahun ( 1987-2007) .
Beliau menyerahkan borang menyertai PAS kepada Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bersama para pengikutnya yang terdiri daripada golongan muda.
Rakyat, kata Hamzah mampu menilai adakah serangan yang dilemparkan Umno melalui media miliknya dan blog pro Umno/BN itu benar atau hanya fitnah jahat semata-mata untuk memburukkan lawan.
“Rakyat mampu membuat penilaian terhadap serangan-serangan sedemikian, dan akhirnya mereka meninggalkan parti itu, tapi malangnya Umno masih mengekalkan politik cara lama dengan pelbagai serangan kotor untuk menjatuhkan musuh politik,” katanya.