PEKAN: Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah membidas Umno/BN kerana memainkan isu perkauman untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
Katanya, umno/BN berharap dengan cara itu mereka dapat membakar api perkauman antara kaum Melayu, China dan India bagi menyokong perjuangan mereka.
Antara perkara yang dimainkan Umno dan MCA ialah dengan mengatakan jika Pakatan Rakyat menang DAP akan menjadi perdana menteri yang dimainkan dikalangan masyarakat Melayu manakala kepada masyarakat China pula mereka mengatakan jika Pakatan Rakyat menang PAS akan menjadi perdana menteri dan akan melaksanakan hukum Hudud.
Menurut Leong, DAP bukanlah parti perkauman dan DAP membuktikanya apabila meletak calon Melayu di kawasan Parlimen Raub dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab.
Katanya DAP tidak mungkin menjadi menteri besar Pahang kerana parti itu hanya bertading tidak lebih daripada sembilan kerusi sahaja di Dun Pahang yang mempunyai 42 kerusi.
“Boleh jadi MB ke hanya dengan sembilan kerusi, DAP tiada niat pun inginkan jawatan MB, apa yang diperkatakan oleh Umno hanya untuk menyemaikan perasaan anti-DAP dikalangan orang Melayu,” katanya berucap di Indera sempurna, dekat sini.
Leong berkata, rakyat Malaysia perlu membuat perubahan politik demi masa depan mereka untuk menjadikan Malaysia yang lebih maju bebas daripada penguasaan 55 tahun Umno/BN yang semakin lemah dan menyusahkan rakyat.