Bendahari Pas Kawasan Batu, Rosden Mohd Yassin menyifatkan kehadiran dua calon bebas dan seorang calon Berjasa sebagai taktik Barisan Nasional untuk mengalih undi pengundi Melayu neutral.
“Ini strategi Umno-BN untuk mengalih undi orang Melayu di kawasan Batu daripada sokongan kepada Pakatan Rakyat.
“Kita boleh faham memandangkan cara meletakkan Dr Dominic sebagai calon BN, mereka turut letakkan dua calon bebas selain parti Berjasa,” kata Rosden yang juga pencadang calon KEADILAN Batu.
Justeru, beliau yang juga Bendahari Pas Kawasan Batu akan menggerakkan seluruh jentera Pas untuk menyampaikan penerangan terutamanya kepada orang tentang pentingnya mempertahankan Parlimen Batu di tangan Pakatan Rakyat.
“Kalau Tian Chua kita tahu dia bekerja kuat di Parlimen selain kerap turun padang membantu penduduk. Berbanding calon BN, tak ada siapa pun kenal dia. Tak siapa pun tahu apa yang dia lakukan.
“Kami, ahli Pas kawasan Batu akan memberikan seratus peratus sokongan,” kata Rosden.
Sementara itu, seorang petugas Pemantau Pilihan Raya (Pemantau), Liew Thin Choy memaklumkan Barisan Nasional telah melakukan kesalahan pilihan raya dengan meletakkan poster dan kain pemodang kempen dalam kawasan 50 meter dari pusat penamaan calon.
“Papan tanda (iklan kempen) tak dikeluarkan. SPR juga gagal mempamerkan borang penamaan di kawasan terbuka untuk dilihat umum.
“Saya juga dihalang untuk mengambil gambar,” katanya yang bertugas bersama lima sukarelawan Pemantau.
Namun, sehingga pencalonan berakhir kira-kira jam 11.30 pagi, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Penamaan calon di P115 Batu dikawal oleh kira-kira 100 pegawai polis termasuk yang berpakaian preman.