Berdasarkan senarai calon profesional, muda dan berpengalaman, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty yakin KEADILAN akan memberi saingan kuat kepada Barisan Nasional.
“Kita yakin dengan kewibawaan calon KEADILAN. Di Perak, kita akan memberi saingan kuat kepada Barisan Nasional,” kata Dr Muhammad kepada Keadilandaily.
Menurutnya 15 dari 19 calon KEADILAN Perak terdiri dari muka baru dengan masing-masing mempunyai latar pendidikan tinggi.
“Malah, KEADILAN turut menampilkan wakil orang Asal, Bah Tony yang akan bertanding DUN Chenderiang. Ini warna-warni yang ada dalam KEADILAN Perak,” kata Muhammad.
KEADILAN Perak membariskan calon profesional antaranya Dr Meor Ishak, pakar pergigian, Dr. Lee Boon Chye , pakar bedah jantung, Chang Lih Kang, jurutera, Baldip Singh, peguam selain Dr Muhammad sendiri sebagai sarjana ilmuwan Islam.
Tambahnya, sokongan padu rakyat pelbagai kaum di Perak terhadap Pakatan Rakyat ditunjukkan dengan kehadiran ribuan penyokong semasa hari penamaan calon.
“Program kita dihadiri ramaim terutamanya penduduk tempatan. Calon-calon kita telah lama dikenali rakyat di Perak kerana mereka adalah aktivis yang dekat dngan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad berpesan kepada jentera KEADILAN Perak supaya tidak menjadikan perpecahan Umno-BN apabila ada dikalangan mereka yang keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas.
Pada hari penamaan calon 20 April lalu, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim keluar parti itu dan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan mereka. Gerak kerja kempen mesti diteruskan,” kata Dr Muhammad.