Bekas Menteri Besar Selangor,. Tan Seri Muhammad Muhd Taib berkata, Umno-BN telah hilang upaya untuk mengangkat martabat orang Melayu di negara ini.
“Dah tak boleh lagi. Upaya dah hilang. Banyak lagi persoalan yang penting untuk melonjakkan bangsa ke tahap lebih tinggi tidak dapat dicapai.
“(BN) dah lama sangat memerintah. Dah letih. Konsentrasi di pelbagai bidang sudah tidak ada. Perlu ada satu perubahan.
“Saya percaya Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan meneruskan kesinambungan (kejayaan negara) kepada tahap yang ebih tinggi,” katanya pada ceramah pertama di Dataran Kemerdekaan Shah Alam 22 April lalu.
Tegasnya, perlu ada perubahan ekonomi dan sosial secara menyeluruh dan beliau yakin ia hanya boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat.
“Tokoh-tokoh kita yang berada dalam Pas, KEADILAN dan DAP boleh teruskan. Itu sebabnya saya perlu bersuara untuk membantu usaha yang dibawa sahabat kita dalam Pakatan Rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 1,000 hadirin.
Dalam pada itu, Muhammad merujuk rekod pentadbiran Umno-BN di Selangor berbanding Pakatan Rakyat yang mengangkat dan mengutamakan majlis ilmu.
Kata Muhammad perancangan Pakatan Rakyat dengan meletakkan tokoh-tokoh hebat di bandar seperti Shah Alam, Putrajaya dan Nusajaya adalah perancangan strategik mengembangkan syiar Islam, pentadbiran yang telus dan berkebajikan.
“Berbeza dengan BN yang hanya membangunkan, saya yakin Pas bersama Pakatan Rakyat boleh membawa erti pembangunan yang sebenarnya,” kata Muhammad.
Untuk merealisasikan rancangan tersebut, Muhammad memberi komitmen membantu Pakatan Rakyat sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13.
“Saya dapat panggilan dari ramai kenalan. Saya dah perlu mula masuk menyelinap ke kampung-kampung,” kata Muhammad memberikan komitmen untuk berkempen bagi pihak Pas dan Pakatan Rakyat.