MARAN: Hasenan Harun 56, calon PAS N26 Cenor memberi jaminan akan memperjuangkan isu air yang dihadapi sejak 10 tahun lalu oleh penduduk sekitar pekan Awah.
Katanya, isu berkenaan gagal diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terdahulu yang juga Exco kerajaan negeri, Allahyarham Tan Aminuddin Ishak.
Ekoran itu, penduduk pekan awah dan kawasan sekitarnya menghadapi masalah gangguan bekalan air seolah-olah tiada kesudahanya apabila agensi kerajaan Jabatan Bekalan Air (JBA) dan kini Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) gagal menyelesaikanya.
Hasenan berkata, air adalah antara isu utama yang perlu diselesaikan segera selain masalah kehidupan rakyat yang perlu dipertingkatkan.
Menurutnya dua masalah itu akan menjadi keutamaanya untuk diselesaikan jika diberi mandat oleh rakyat kerana kedua-dua masalah itu gagal diselesaikan oleh Adun dahulu.
Katanya, Dun Cenur tidak pernah dimenangi oleh parti lain selain BN sejak 54 tahun lalu, ini bermakna rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada BN, rakyat telah merasai sendiri bagaimana layanan dan cara Adun BN bekerja.
“Rakyat Cenur telah begitu lama merasai berada dibawah BN-Umno dan kini sampailah masanya bagi mereka untuk membuat perubahan berada dibawah PAS- Pakatan Rakyat pula,” ujarnya.
Beliau percaya, isu air yang melanda penduduk sekitar Pekan Awah ini berpunca daripada kurangnya perhatian Adun BN menyebabkan pihak JBA waktu itu tidak menyediakan plan jangka panjang bekalan air bagi kawasan berkenaan.
“Apabila pembangunan bertambah pesat jumlah pengguna meningkat sedangkan kapasiti air tetap ditahap lama menyebakan air yang disalur tidak mencukupi.
“Ini kerja Adun, membawa isu berkenaan ke mesyuarat tindakan daerah untuk diangkat keperingkat lebih atas,” katanya.
Hasenan bekas pendidik yang baru sahaja bersara untuk bertanding dalam PRU-13, sebelum ini berkhidmat di sebuah sekolah di Felda Jengka 6 dan sekolah terakhir beliau mengajar sebelum bersara ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Awah.
Dalam PRU-12, Dun Cenur di menangi oleh BN dengan majoriti 2,468.