Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat semalam bermula serangan sama ada dari kumpulan atas nama wanita mahupun atas nama Negeri Perak terhadap bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim yang menjadi calon bebas di Parlimen Kawasan Kuala Kangsar kini dicemuh atas tindakanya tersebut.
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sudah mula menggambarkan bahawa golongan wanita tidak akan menyokong dan akan mengundi Datuk Kamilia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13, 5 Mei ini.
“Tidak lepas ketinggalan juga, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir sudah melepaskan ‘geram’ kepada Datuk Kamilia.
“Persoalan kami, adakah Datuk Kamilia seorang pemimpin yang ‘tidak bersih’ antara penyebab beliau tidak dicalonkan sebagai calon BN di Parlimen Kuala Kangsar? Gambaran yang diberikan oleh Datuk Seri Shahrizat dan Datuk Seri Zambry jelas menunjukkan golongan wanita tidak berpecah dan masih setia kepada Umno / BN.
“Pergolakan ini tidak akan sudah sebelum Datuk Kamilia menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan adakah golongan wanita bersempati dengan apa yang berlaku kepada Datuk Kamilia yang akan diterjemahkan di dalam kertas undi kelak. Perkara ini yang masih tidak mampu diukur oleh semua pihak di dalam fokus Parlimen Kuala Kangsar nanti,” katanya.