Dua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Johor Corporation dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan diaudit dan dibentangkan secara terbuka kepada rakyat Johor sebaik Pakatan Rakyat menang, kata Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Hasan Karim.
Katanya, audit dijalankan untuk menyiasat punca kegagalan Amanah Saham Johor (ASJ) oleh Pelaburan Johor Bhd, sebuah anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp).
“Kita tidak pernah mendapat laporan tentang perjalanan yang telus syarikat KPRJ dan JCorp. Kita nak siasat siapa yang songlap. Dua syarikat ini banyak melibatkan diri dalam projek kerajaan. KPRJ dan JCorp perlu diaudit,” katanya.
ASJ dibubarkan pada harga 19 sen seunit pada April 2008 dan jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kadar yang dijanjikan iaitu RM5 seunit ketika mula diperkenalkan pada 1992.
Suara Johor, sebuah buletin rasmi kerajaan negeri terbitan Jun 1996 melaporkan kenyataan Ketua Eksekutif PerbadananJohor, Datuk Mohammad Ali Hashim bahawa harga jualan ASJ dapat ditingkatkan kepada RM5 pada tahun 1997.
Pengumuman itu menyebabkan ramai rakyat Johor berebut-rebut membeli saham ASJ dan difahamkan seramai125,000 melabur di dalam ASJ.
“Kegagalan ASJ melibatkan ramai rakyat biasa. Ramai rakyat Johor yang membuat pinjaman untuk melabur, namun disaman pihak bank kerana gagal menjelaskan hutang,” kata Hasan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, KPRJ dan JCorp tidak memenuhi matlamatnya untuk membawa keuntungan kepada kerajaan negeri.
Tambahnya, aset milik KPRJ seperti tanah kemudiannya disewa dengan harga murah kepada pihak ketiga untuk projek pertanian seperti kelapa sawit.
Kata Dr Boo, KPRJ kelihatan seperti proksi diantara kerajaan negeri dengan pemaju atau pengusaha projek pertanian yang mendapat untung atas angin akibat sewa yang murah.
“KPRJ melibatkan diri dalam banyak projek kerajaan. Seharusnya 10% keuntungan GLC dipulangkan kepada kerajaan negeri. Ini tidak berlaku, sebaliknya anak-anak syarikat ini yang untung besar,” kata Dr Boo.