Suasana dua hari terakhir sebelum mengundi di kawasan utara Selangor tenang. BN berkeyakinan penuh untuk merampas semula negeri itu dari PR.
Jentera pemasang bendera BN berkerja keras dan perayu undi yang bergerak dari rumah ke rumah melakukan tugas dengan baik. Di sepanjang jalan, bendera BN jelas kelihatan menguasai suasana. Dalam masa sama petugas PR bertungkus-lumus menyaingi BN. Mereka tetap kekurangan biar pun bendera PR berbaris di sepanjang jalan dari simpang tiga Jeram ke Kuala Selangor sejauh 10 kilometer.
Pekan Kuala Selangor yang dihuni tidak lebih 6,000 penduduk lengang pada petang hari berikutan kegiatan utama adalah pertanian yang sibuk di pagi hari. Bagaimanapun jalan ke arah utara menghubungkan pekan itu kepada lebih banyak bandar kecil seperti Sungai Besar, Sabak Bernam dan melepasi sempadan Perak untuk ke Utara Semenanjung.
Kebangkitan spontan
Pada pukul 5 petang, tiba-tiba keheningan pekan Kuala Selangor dipecahkan oleh teriakan sekumpulan anak muda. Mereka mengangkat sepanduk tulisan tangan berbunyi; ‘Hapuskan Tol’, ‘Turun Harga Minyak’, ‘Ubah’ dan lain-lain perkataan yang memuji manifesto PR.
Anak-anak muda ini berdiri dan duduk di tengah-tengah pembahagi jalan. Lampu trafik menyebabkan kenderaan berhenti, tetapi hon daripada kenderaan itu tidak berhenti. Terus membingit menyatakan sokongan. Pemandu terus terjerit-jerit girang apabila bendera PAS dikibar dan sepanduk lambang PKR diangkat.
Pemandu dan penduduk sekitar berteriak ‘Ini Kalilah’, ‘Ubah’ dan lain-lain slogan yang biasa didengar dalam ceramah PR. Aksi spontan (flasmob) sekumpulan pemuda itu cukup untuk menggambarkan sokongan di kawasan Menteri Pertanian Noh Omar dari BN yang mempertahankan kerusi parlimennya.
Amat jarang berlaku kebangkitan di kalangan Melayu Jawa. Masyakat Jawa penyantun dan tidak menunjuk penentangan secara terbuka. Sebaliknya apabila ia telah terbuka maka itu menghampiri revolusi dalam pendirian mereka.
Fenomena kebangkitan Melayu Jawa kali ini amat luar biasa. Di sepanjang jalan menuju ke Sungai Besar, kira-kira 15 kilometer, jalan dua lorong, bendera PAS dan DAP bersilih ganti dan berselang seli bersama bendera BN. Pemandangan yang mustahil dilihat pada PRU 1999 ketika Sungai Burung dan Sekinchan jatuh ke tangan pembangkang. Pada PRU 2004 dan 2008 juga tidak pernah bendera dicacak sebanyak itu. Bilangannya mungkin mencecah angka belasan ribu.
Suasana jauh lebih meriah dari kempen di bandar-bandar besar yang turut dilakaui jalan Kuala Selangor – Kuala Lumpur seperti Sungai Buloh dan seterusnya ke Kepong. Pelbagai replika dicipta dan dibalut bendera PAS, PKR serta DAP. Replika wau paling banyak dibalut bendera PAS. Diikuti replika kapal terbang dibaluti bendera PAS. Replika roket pula di balut bendera DAP dan PKR.
Ketika jentera kempen BN kelihatan memenuhi beberapa bilik gerakan di jalan Ijok – Kuala Selangor, di pekan Ijok, 50 kilometer dari Kuala Lumpur penduduknya keluar ke jalan raya. Tepat jam 6 petang mereka bergerak ke jalan utama mengarak replika kereta kebal yang dibalut bendera PAS dipasang pada sebuah kenderaan empat roda. Replika kereta kebal itu menarik replika kapal selam yang dibaluti bendera PKR.
Lalu lintas terhenti akibat perarakan itu. Remaja, pemuda dan warga veteran Ijok bersorak gembira apabila replika diarak bersama-sama konvoi kereta membawa bendera Pakatan Rakyat.
Pemuda di tepi jalan mengangkat sepanduk pelbagai tulisan manifesto PR kepada setiap kenderaan yang lalu lalang. Bunyi hon membingitkan suasana. Pemuda bersorak dan berdera berkibar lebih kencang.
Sekali lagi, di lokasi berasingan 20 kilometer jaraknya, kebangkitan spontan ke jalan raya menunjukkan kemarahan dan ingin mengusir segera kerajaan BN.
Ini kalilah
Ketika PR berasa sukar untuk meneruskan pertahanan yang digempur BR1M dan pelbagai skim lain serta lambakan hadiah di Selangor, sokongan sebegini menaikkan semangat mereka. PR meramal 5 – 7 kerusi sub bandar akan tumbang ke tangan BN. Hanya kerusi yang ditentukan sokongan pengundi Cina akan bertahan.
Manakala kerusi yang diperkuat sokongan Melayu seperti parlimen Selayang, Subang, Hulu Langat, Kota Raja dan sebagainya dijangka tumbang. Penganalisis politik berpendapat strategi meletakkan calon Bebas berkesan memecahkan undi kaum Melayu dan India.
Namun satu kejutan tidak dijangka berlaku apabila bekas MB Selangor Muhammad Taib menyertai PAS. Beliau adalah benteng pertahanan Umno mengekalkan sokongan Melayu Selangor. Kemasukan Mat Taib yang popular di kalangan Melayu menyebabkan kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan banyak lagi dilanda tsunami politik.
Kebangkitan beasar-besaran di utara Selangor diluar jangkaan BN. Dengan sekurang-kurangnya 9 kerusi baru DUN mampu diraih PR, maka kehilangan 7 kerusi Dun di sub bandar kepada Umno tidak akan mengurangkan majoriti di Dewan Negeri.
Selepas 5 Mei, pelaburan besar BN di selangor sejak 2009 apabila Najib menjadi pengerusi perhubungan negeri itu akan sia-sia. Dengan arus kebangkitan luar biasa, slogan Umno ‘Sayangi Selangor’ tidak akan membawa apa-apa erti.
Bagi PR ‘Ini Kalilah’, untuk BN: ‘Lupakanlah!’