Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Dr Faidhi Saidi berkata, sokongan pengundi Melayu di Johor kini pada tahap 50% dan ia perlu dipertingkat untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.
Manakala sokongan pengundi Cina di Johor kini pada tahap 80%. Justeru, pecutan kempen terhadap pengundi Melayu perlu digiatkan menjelang hari-hari akhir kempen.
“Isu yang dibangkitkan pengundi Cina seperti rasuah dan keselanatan. Ini beri kesan kepada mereka kerana kebanyakannya berniaga.
“Manakala isu orang Melayu lebih kepada peluang pekerjaan, taraf gaji dan perumahan. Paling sensitif ialah isu tanah,” kata Faidhi yang juga calon parlimen KEADILAN Pasir Gudang.
Kata Faidhi, beban BN kini terarah ke DUN Permas dimana Datuk Seri Khaled Nordin bertanding dan calon Menteri Besar Johor dari BN.
Tambahnya, parlimen Pasir Gudang terdiri daripada DUN Permas dan Johor Jaya dikelilingi banyak isu rampasan tanah dan pengusiran antaranya di Felda Cahaya Baru Masai dan Kg Plentong Tengah melibatkan puluhan peserta Felda dan keluarga peneroka bandar.
“Sejak 18 tahun lalu penduduk kampung duduk di atas tanah TOL ( Lesen Menduduki Sementara). Janji Umno-BN untuk meluluskan permohonan geran tanah tak diselesaikan.
“Semua orang tahu sembilan cawangan Umno dalam parlimen Pasir Gudang ditutup pada Januari 2013. Ini tindakan protes kerana geran tanah tak diberi,” kata Faidhi.
Namun kata Faidhi, pengundi muda Melayu di Johor berumur 25 hingga 40 tahun melihat manifesto Pakatan Rakyat lebih realistiik.
“Mereka melihat peluang pekerjaan diambil orang lain. Ketika Gaji Minima dilaksana pekerja asing untung. Pekerja tempatan tak dapat apa-apa kenaikan, sedangkan mereka terbeban banyak cukai,” kata Faidhi.
Justeru, anak-anak muda ini yang menjadi jurukempen tidak rasmi Pakatan terhadap golongan tua yang berjumlah antara 30% ke 40%.
Tambah Faidhi, elit ekonomi dan politik Melayu Johor yang mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ selepas Tsunami 2008. kini cenderung menyokong Pakatan Ralyat.
“Malah saya sendiri dihubungi secara langsung. Walaupun mereka tidak boleh muncul dan berkempen bersama kita secara terbuka, tetapi mereka beri pandangan dan strategi selain bantuan kewangan dan peralatan.
“Bagi saya, ini satu perubahan drastik,” katanya.