Naib Presiden KEADILAN Tian Chua mengundi di sekolah rendah La Salle , Jalan Gasing, Petaling Jaya. Beliau yang merupakan calon Parlimen Batu tiba seawal jam 9.10 di pusat pembuangan undi.
Beliau disambut oleh pengundi Cina, Melayu dan India yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan tokoh Reformasi itu di luar pusat mengundi.
Bagaimanapun, berlaku insiden salah faham di antara polis bertugas di pintu pagar utama sekolah yang tidak membenarkan wartawan mengambil gambar Tian. Calon parlimen Batu itu membantah sambil menegaskan SPR membenarkan gambar pemimpin BN membuang undi di seluruh negara.
“Najib Razak, Raja Nong Chik, Muhyiddin Yassin semua boleh ambil gambar. Mengapa di sini tak boleh. Di parlimen Batu boleh,” katanya.
Bagaimanapun keadaan itu reda apabila seorang pegawai SPR yang menyelia pusat mengundi tiba dan membenarkan wartawan mengikuti Tian ke bilik mengundi.
Di koridor bilik mengundi itu insiden sama berulang. Seorang pegawai polis melarang wartawan mengambil gambar. Bagaimanapun, beberapa wartawan akhbar berbahasa Cina memprotes dan meminta tugas mereka tidak diganggu kerana telah diberi kebenaran oleh pegawai SPR yang bertugas.
Tian membuang undi pada jam 9.40 pagi, kemudian meneruskan lawatannya ke pusat pembuangan undi di parlimen Batu