Badan Perhubungan PAS Negeri Perak meletakkan 100 hari bagi Barisan Nasional (BN) membawa perubahan kepada negeri itu sebagaimana Pakatan Rakyat berjanji untuk melaksanakan perubahan dalam tempoh tersebut.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Ahmad Nuri Al Amin berkata, PAS meragui keupayaan BN Perak untuk melakukannya. Katanya, BN Perak dalam keadaan ‘tidak seimbang’ setelah rakyat Negeri itu ‘menyuarakan’ hasrat mereka yang masih mengharapkan ‘tuah’ kepada PR Perak bagi mengekalkan kemenangan pada PRU 12 yang lalu.
“BN Perak perlu mengakui bahawa majoriti rakyat Perak masih lagi menyebelahi PR dengan undi popular yang mencecah 54% berbanding 44% yang menyokong BN dari jumlah undi sebanyak 1,160,292.
“Malah PAS Perak masih dapat mengekalkan sokongan undi popular sebanyak 46% yang diperolehinya dalam PRU 12 walaupun dengan peningkatan jumlah undi sebanyak 33% di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PAS. Angka ini jelas menunjukkan bahawa kemenangan BN pada hakikatnya bukanlah merupakan kemenangan mutlak dan rakyat pada keseluruhannya masih menyandarkan harapan kepada PR untuk melakukan perubahan,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, PAS Perak mampu menerima kekalahan di dalam PRU 13 mengikut sistem yang terpakai.
“Atas arahan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Titi Serong yang baharu, Haji Abu Bakar Hussien meminta agar seluruh pendokong PAS / PR Perak khasnya agar bertenang dengan keputusan PRU 13 kali ini.
“Diminta semua pendokong PAS / PR agar menerima arahan daripada pimpinan dari masa kesemasa dengan suasana yang ada sekarang dan jangan bertindak di luar arahan pimpinan. Kita sebenarnya sudah menunjukkan kematangan kita berhadapan dengan keputusan yang telah dibuat pada PRU 13 kali ini.
“Kami berharap agar kita semua meneruskan kerja-kerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS / PR di Perak khasnya. Tempoh 100 hari yang menjelang bakal membuahkan pelbagai berkemungkinan buat BN Perak. Ianya dapat menentukan samada BN Perak mampu meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak atau sebaliknya, rakyat akan melihat apa yang berlaku dalam tempoh 100 hari nanti!” katanya.