Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Mohd Nazree Mohd Yunus memberi keterangan di balai polis Seremban pada 19 Mei lalu berhubung himpunan Suara Rakyat Suara Keramat anjuran Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan dua hari sebelumnya.
Nazree yang juga Pengarah Program itu berkata, beliau didatangi sepasukan polis di rumahnya sehari selepas himpunan yang memintanya hadir ke balai bagi memberi keterangan.
“Saya meminta agar ditangguhkan ke hari Isnin, namun pegawai polis itu bertegas kena hadir hari ini juga dengan alasan kertas siasatan mengenai kes ini akan dihantar ke Bukit Aman pada 20 Mei ini,” katanya menghubungi Suara Keadilan pada 19 Mei lalu.
Nazree berkata, beliau ditanya beberapa soalan berkaitan program itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 selama lebih dua jam.
“Selepas di aju beberapa soalan saya tegaskan akan hanya menjawab di mahkamah. “Walaupun mereka terus mencuba bertanyakan mengenainya dan jawapan sama saya berikan, akhirnya selepas lebih dua jam di soal siasat, akhirnya saya dibebaskan,” katanya ditemani, Naib Ketua AMK negeri, Ramlan Roes dan 15 aktivis muda Pakatan Rakyat.
Pada 19 Mei lalu, Pakatan Rakyat mengadakan himpunan edisi Negeri Sembilan yang menyaksikan lebih 30,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri program itu dengan tetamu utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan itu adalah salah satu siri bantahan Pakatan Rakyat di seluruh negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melakukan pelbagai penipuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Ia termasuklah terputusnya bekalan elektrik secara tiba-tiba pada malam pengiraan undi di beberapa kawasan. Menariknya, selepas berlakunya ‘black out’ itu, calon BN diumum sebagai pemenang walaupun sebelum itu calon Pakatan Rakyat mendahului dalam pengiraan undi. TNB sudahpun menyatakan tiada sebarang ‘black out’ pada malam itu.
Pakatan akan memfail petisyen dalam masa terdekat di 27 Parlimen dan beberapa kerusi negeri.