Badan Perhubungan PAS Negeri Perak meminta seluruh Ahli PAS Perak untuk menggerakkan Majlis Solat Hajat dan mendoakan kejayaan Petisyen yang telah difailkan oleh PAS Perak bagi membantahan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 pada 5 Mei yang lalu. PAS Perak telah mengemukakan sebanyak enam (6) Petisyen melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau yang difailkan semalam dan DUN Selama, Manong dan Rungkup.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Perak berharap usaha itu akan dapat memberi ruang dan harapan kepada rakyat untuk merubah kedudukan keputusan PRU 13 yang lalu.
“Petisyen ini juga memberikan peluang pada kita untuk mendedah dan membuktikan pelbagai bentuk penipuan dan rasuah yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang membolehkan mereka menang tipis tanpa sokongan majoriti rakyat Perak. PAS Perak berkeyakinan tinggi bahawa Petisyen yang telah dikemukakan ini secara langsung akan memberikan impak kepada keputusan PRU yang lepas samada akan berlakunya perubahan dalam pemerintahan kerajaan negeri atau tidak.
“Sudah tentu ianya bukan sahaja mendapat perhatian di dalam negara bahkan akan mendapat perhatian seluruh dunia oleh kerana Negeri Perak pernah mencatatkan sejarah hitam pada tahun 2009 yang lalu. Kami juga mengharapkan doa dan sokongan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) agar Petisyen yang akan dibicarakan akan berpihak kepada PAS / PR. Ianya juga adalah ruang ‘menyanggah’ keangkuhan BN di Perak yang enggan menerima hakikat bahawa pola sokongan rakyat Perak terhadap mereka adalah sangat rendah.
“Kami yakin bahawa doa dan sokongan rakyat tentunya nanti akan membuahkan hasil yang akan berpihak kepada PAS / PR. Kami seru agar tingkatkan doa agar kejayaan akan merubah lanskap politik Perak kembali!” katanya