Tinggal dua hari sebelum kemuncak Himpunan 505 namun masih tiada tanda-tanda pihak polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan berlembut untuk membenarkan Padang Merbok berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia dijadikan sebagai lokasi utama.
Bagaimanapun, ketua sekretariat Blackout 505 Datuk Johari Abdul bertegas himpunan akan diteruskan di padang tersebut sebagaimana dirancang sebelum ini.
“Pihak kita telah bertemu dengan DBKL dan polis. Mereka minta ditukar ke Stadium Merdeka tetapi Padang Merbok telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan dan kita tiada mandat untuk mengubahnya ke tempat lain.
“Padang Merbok juga setelah saya tinjau tidak ada sebarang kerja-kerja lapangan (naik taraf) seperti kata DBKL sebelum ini. Jadi tidak ada alasan kukuh mengapa rakyat tidak boleh menggunakannya,” kata Johari.
Beliau berkata lagi, perserta himpunan tersebut perlu mencecah angka lebih 250,000 untuk menunjukkan rakyat benar-benar serius menuntut satu proses pembaharuan pilihan raya. Jumlah yang besar juga, katanya, akan memberi kesan ke atas tiga tuntutan utama Blackout 505 sejak 8 Mei lalu.
“Tuntutan kita tiga perkara. Pengerusi, Timbalan dan 5 ahli Suruhanjaya Pilihan Raya mesti meletak jawatan; pilihan raya semula diadakan di kawasan-kawasan yang dipertikaian dan usaha persempadanan semula hendaklah dihentikan sehingga SPR benar-benar menjadi badan bebas,” katanya.
Johari mengesahkan himpunan tersebut mengikut format sebelumnya. Iaitu, pesta rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya dan bermula pada pukul 2 hingga 6 petang, Sabtu, 22 Jun.
Namun begitu, Johari tidak menolak polis enggan memberi kerjasama dan himpunan akan menjadi lebih sukar sebagaimana yang dialami penyokong Pakatan dalam Bersih 2.0 atau Bersih 3.0.